Wednesday, May 19, 2010

Belajar darinya...

Kebelakangan ini, pagi-pagi yang saya lewati pasti ada perkara yang menyingkap hijab-hijab kecantikan syariat Islam. Ya, kita belajar Islam secara teori dan mempraktikkan dengan hati dan fizikal kita, namun pernahkah kita merasai satu perasaan yang takjub kepada Islam tiba-tiba muncul apabila setiap makhluk ALLAH yang sedang menghayunkan langkah di depan kita sedang juga membawa mesej dari Ya-Khaliq?

***
Susuk tubuh yang kecil itu melangkah masuk di dalam klinik. Ditemani si ibu yang setia disisi. Sekilas pandang, dia lebih kurang baya saya atau lebih tua sedikit.

Pandangannya hambar. Kosong.

Matanya kekuningan, wajahnya lesu menatap wajah rakan saya yang menemu-ramah dirinya.

Namun kebanyakkan soalan lebih pantas dijawab oleh si ibu yang saya kira amat prihatin orangnya. Terharu. Timbul tanda tanya di dalam fikiran tatkala melihat wajah di depan rakan saya. Setiap pertanyaan , saya ikuti dengan perasaan ingin tahu.

Dari rekod ujian darah yang dijalaninya, dia disahkan menghidap Hepatitis C.

Fikiran saya dibawa melayang ke peristiwa beberapa minggu lepas. Berita yang saya terima saya kira diluar jangkauan akal, ada salah seorang ahli keluarga sahabat saya menghidap penyakit yang sama. Namun kerana lantaran kesibukan waktu menyebabkan saya belum mampu bertandang di rumahnya. Hanya sekadar salam dan panggilan menjadi penghubung silaturrahim.

Namun bila yang berada di depan saya ini, REMAJA, lelaki muslim, yang masih banyak kejayaan yang boleh ditempuhinya di depan , dan sekarang dirinya menghidap penyakit yang melemahkan anggotanya dari berkerja, menyebabkan bermacam perasaan yang timbul di jiwa saya.

Berbanding dengan Hepatitis B, Hepatitis C yang mudah merebak dan meragut kesihatan menyebabkan dia kelihatan tidak bermaya dan mungkin batiniahnya juga tidak berdaya walaupun tempoh penyakit ini datang agak singkat. Rakan saya mula menyelidik bagaimana virus itu boleh menganggu gugah kesihatannya.
===================================
Bagaimana Hepatitis C merebak:
-melalui hubungan kelamin
-pemindahan darah dan hasil darah
-akulpuntur/tatu
-ibu kepada anak
=================================
Rakan saya cuba untuk bertanya mengenai sexual history pesakit , namun dihalang oleh pensyarah yang memerhati. Bayangkan, apa perasaan seorang ibu jika mendengar pengakuan anaknya yang diri anaknya pernah melakukan hubungan di luar syariat Islam. Pasti malu. Sedih. Dan barangkali mungkin si ibu yang prihatin tadi akan tiba-tiba naik berang.

Namun setelah mendapat waktu yang privasi, dia menceritakan tentang dirinya. Dia belum kahwin. Tetapi dia telah menjalani hubungan yang melanggar batas syarak beberapa kali. Jiwa saya tergugah apabila rakan saya memberitahu kami. Ini bukan yang pertama saya berjumpa dengan pesakit yang mempunyai sejarah begini, namun ini akibat yang terburuk yang saya baru lihat dengan pancaindera sendiri.

Ya ALLAH, betapa hebatnya ujian-Mu...betapa jelas mesej yang Engkau gambarkan di susuk badan lelaki ini dan kesihatannya...Betapa indahnya syariat larangan-Mu..

Ujian untuk dirinya...

Pesanan untuk kita...

Dia masih muda. Alangkah bagusnya jika usianya dikorban untuk Islam dan mencari ilmu. Alangkah bagus jika dirinya letih kerana kepenatan menjalankan kerja Islam dan mununtut ilmu. Alangkah bagus masanya dipenuhi temu janji di majlis-majlis ilmu. Alangkah bagus jika jiwanya dididik mantap dengan akhlak Islam.

Sekiranya ada pusat yang mampu dibangunkan untuk mengembalikan jiwa bertuhan didalam golongan sebegini, alangkah bagus...

Sekiranya ada doktor yang mampu menasihat pesakit sebegini supaya kembali kepada kehidupan mengenali ALLAH, saya ingin belajar darinya, alangkah bagus...

Alangkah bagus jika Islam itu benar-benar dilaksanakan secara menyeluruh di negara kita.

Saban hari kebajetan masalah remaja terutamanya di negeri Sarawak kesayangan saya, mengugat jiwa saya . Amat menyedihkan. Lebih-lebih lagi bila maksiat dianggap biasa. Duduk sebumbung biasa, zina biasa, anak luar nikah malu hanya seketika...Masya ALLAH, saya sayangkan negeri ini, dan saya ingin Islam benar-benar bercambah subur menjadi pohon rendang yang kukuh memayungi penduduk di bawahnya.

Sungguh saya amat berterima-kasih dengan sahabat-sahabat yang banyak berkorban masa, tenaga , wang ringgit dan segalanya semata-mata ingin melihat Islam terpacak teguh di bumi Sarawak. Saya amat terhutang budi dengan kalian. Sekira dibandingkan dengan saya yang kekurangan ilmu, usaha kalian memantapkan akhlak dan kehidupan beragama dalam masyarakat saya amat besar jasanya. Saya bukanlah sesiapa tanpa kalian. Dan semuanya juga adalah ketentuan ALLAH.

Pesanan untuk kita, ALLAH pasti akan menghukum kesalahan kita. Berbahagia yang dihukum di dunia daripada yang ditangguh ke akhirat. Bertaubatlah, sesungguhnya keredhaan ALLAH lebih besar dari murka-Nya.

Air mata kesyukuran mengakhiri solat saya. Syukur, kerana walaupun dahulu saya digelapkan mata dengan kejayaan dunia semata-mata , hingga akhirat terabai, Ya Khaliq masih menjaga saya, memberi kejayaan dalam hidup dan yang paling berharga , hidayah yang pasti tidak ternilai. Juga sahabat yang sentiasa membantu saya bangun dari kelalaian.

Dia yang saya ceritakan tadi hanya satu dari kisah kehidupan yang dilalaikan dengan nafsu. Masih terlalu banyak, di depan, di belakang , di tepi dan mungkin di dalam diri kita sendiri. Nafsu yang tidak mudah kalah dek bakaran api neraka , namun pasti kalah sekiranya kita hidup berpandukan AL-Quran dan Hadis.

Betapa indahnya Islam...Pasakkan teguh jiwa kami untuk berjuang menegakkan agama-Mu walau dalam keadaan susah atau senang, malas atau rajin, sedikit atau ramai, Ya ALLAH...

Wa'allahualam

Monday, May 17, 2010

Proaktif Vs Reaktif...Di mana kita?

Seperti kebiasaan setiap pagi, setiap kali saya memandu, saya pasti ditemani dengan suara-suara dj ikim.fm . Satu slot kegemaran saya adalah slot selama 10 minit iaitu "motivasi pagi".

Pagi semalam kisah motivasi yang disampaikan oleh ustaz Zambri amat luas biasa masuk ke jiwa saya.

Kisah tentang Proaktif... Proaktifkah kita dalam kehidupan untuk mencapai keredhaan ALLAH?

Kisahnya lebih kurang berbunyi begini:
Italic
Laparospic technology atau teknology berkamera yang digunakan dalam pembedahan adalah teknologi yang agak canggih didalam bidang perubatan. Mana tidaknya hanya dengan beberapa lubang yang agak kecil, laparospic surgery dapat dijalankan dan pesakit tidak perlu tiggal lama di hospital dan luka pun cepat sembuh...

Di sebalik teknologi ini, pasti ada inventor nya... dan inventor kepada teknologi ini adalah seorang doktor dari California.

Nak di jadikan al-kisah, ada reporter yang ingin menemu ramah doktor ini... Sebelum menemu ramah, mestilah kita kena kaji sedikit latar belakang orang yang kita ingin temu ramah itu ,kan. Jadi ini yang dilakukan reporter, menyelidik latar belakang si doktor yang cipta laparoscopic technology itu tadi.

Setelah dikaji barulah si reporter tahu yang sebenarnya si doktor ini datang dari keluarga yang bermasalah, yang berpecah belah. Jadi si reporter tu pun berjumpa dengan si doktor. Antara soalan yang ditanyanya:

Reporter: Kenapa doktor boleh berjaya walaupun doktor datang dari keluarga yang bermasalah, yang ibubapa doktor selalu memukul doktor?

Doktor : Apa nak buat mak bapak saya memang macam tu... (redha je..)

***
Reporter : Doktor ada adik-beradik selain doktor ?

Doktor : Ada, saya ada seorang adik.

Reporter: (dengan nada teruja) Pasti adik doktor jugak seorang yang berjaya seperti doktor.

Doktor : Adik saya seorang banduan. Ada di penjara California ni. Kalau anda mahu, saya beleh memberi no telefonnya kepada anda.

Reporter : (seolah-olah tidak percaya)

***
Oleh kerana perasaan yang ingin tahu, si reporter pun menelefon adik si doktor dan menziarahnya di penjara...dan antara soalan-soalannya:

Reporter : Kenapa ada menjadi banduan sedangkan abang anda boleh berjaya walaupun hidup dalm keluarga yang ibubapa selalu mendera anda adik- beradik.

Banduan : Apa nak buat mak bapak saya memang macam tu... (aik..sama pulak jawapan dia dengan abang dia)
***
Jadi, ustaz Zambri pun mengulas jawapan kedua-dua adik beradik itu.

Jawapan yang sama tetapi tidak serupa.

Doktor : Apa nak buat mak bapak saya memang macam tu...kalau dia orang pukul, saya sapu minyak gamat, tetapi sayanak belajar betul-betul untuk ubah hidup saya.

Ini yang kita sebut PROAKTIF...

Banduan : Apa nak buat mak bapak saya memang macam tu...sebab tu saya jadi macam nie. saya tidak tahan dengan dia orang.

Ini yang kita sebut REAKTIF...

***
Jadi kita ingin berada di tahap mana? proaktif atau reaktif.

Adakah kehidupan kita proaktif atau reaktif?

Sesungguhnya ALLAH telah berfirman:


Ar-Ra’ad: ayat 11.

“. ..Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan[768] yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, Maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.”

[768] Tuhan tidak akan mengubah keadaan mereka, selama mereka tidak mengubah sebab-sebab kemunduran mereka.


p/s: Ustaz Zambri bagi motivasi dengan nada yang ceria dan lawak jugak. saya mintak maaf kalau perkongsian ini tidak selengkap semasa Ustaz Zambri bagi motivasi.

Sunday, May 16, 2010

Akhlak dan Adab-adab berjemaah

"Subhanallah, walhamdulillah, wa la ila haillallah, Allahu akbar...
Alhamdulillah diberi kesempatan dan ilmu untuk mencoret kembali lembaran blog saya yang lama menyepi ini...

Daripada Ibn Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda:"pertolongan Allah bersama jemaah"
(HR al-Tarmizi)


Dalam dunia yang semakin hebat dengan maksiat dan kebejetan akhlak , amat perlu jemaah untuk kita menguatkan jiwa yang disuntik vaksin kelalaian. Ya, saya akui ada setengah orang mampu menjadi hebat walaupun tidak bergerak dalam jemaah tetapi pasti ruang lingkup dakwahnya masih terhad. Kenapa perlu mengehadkan ruang untuk kita berdakwa'? takut akan keterikatan masa kita dengan aktiviti dakwa'? . Renungkan lah hadis di atas wahai sahabat ku...sungguh saya mungkin bukan yang layak untuk membicarakan perkara ini. Dalam dunia yang penuh ancaman ini, amat perlu kita bergerak bersama-sama dalam melaksanakan kerja Islam. Dan mediumnya adalah jemaah.


Allah SWT berfirman.. "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung"
Al-Imran ayat 104

"Hai orang-orang yang beriman, bersiap sedialah kamu, dan majulah (ke medan pertempuran) berkelompok-kelompok, atau majulah bersama-sama!"
An-Nisa' ayat 71

Bagi yang berjemaah, YAKINkan diri kita, yang kita berada di jalan yang betul.
Jemaah bukan ikut-ikutan tetapi faham yang paling utama.
Kerja jemaah bukan hanya semasa hati mengatakan rajin , ditinggal bila jiwa sudah dipagar rasa malas.

Apabila kita berniat memperjuangkan islam , sebenarnya kita telah mengikat janji setia kepada ALLAH, bukannya kepada manusia. Sesungguh setiap yang berjanji layak untuk diuji. Nah , ujian ALLAH pasti ada didepan kita, bukan sebagai bala, tetapi ALLAh ingin menguji benarkan janji kita. Sesungguhnya, ALLAH lebih mendahului pengetahuaan tentang diri kita dan alam ini...
===================================================================
10 akhlak dan adab-adab berjemaah
(ini artikel yang saya copy-paste dr sebuah blog)

1. Ikhlas.
Pejuang Islam mestilah ikhlas dengan mempunyai niat yang sebenar kerana Allah, menuntut keredhaanNya dengan menegakkan agamaNya sehingga didaulatkan.

Abu Musa al Asy’ari menceritakan :

Seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah saw, dia berkata : Orang yang berperang kerana mahukan harta rampasan, orang berperang kerana mahukan disebut orang, berperang kerana riya’, maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah?

Sabda Rasulullah: sesiapa yang berperang supaya ‘kalimatullah’ itu menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah.

Ini bermaksud perjuangan untuk menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan samada melalui pilihanraya sehinggalah berperang di negeri, tidak ada cara lain daripada mestilah dengan niat yang ikhlas.
Firman Allah swt:

Maksudnya: “Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan dengan mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus” (Al Bayyinah : 5)

Apabila mengikhlas niat kerana Allah semata-mata maka mestilah memberishkan hati daripada sifat-sifat yang merosakkan niat seperti riya’, ujub dan sum’ah.

Antara tanda-tanda ikhlas dalam diri seorang pejuang Islam adalah:
– Nawaitu yang jelas dan tepat hanya kerana Allah. Tidak meletakkan sasaran untuk menjadi pimpinan atau sebagainya yang merosakkan niat.
– Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan. Sikap hanya aktif semasa memegang jawatan dan menghilangkan diri dikala tidak berjawatan adalah sikap negative yang manzahirkan ketidakikhlasan dalam perjuangan. Contohilah Khalid al Walid di dalam menjalankan tugas (kisah Khalid al-Walid yang menerima surat perletakan jawatannya oleh Khalifah Umar al Khattab)
– Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran.
– Tidak bermain alasan untuk mengelakkan diri dari aktiviti jamaah.
– Bersedia menerima arahan dalam apa jua keadaan sungguhpun ia tidak bersesuaian dengan keinginan diri.
– Prihatin terhadap keperluan jamaah. Sentiasa mengutamakan aktivit jamaah dari aktiviti sendiri dan menganggap semua kativiti jamaah adalah penting untuk diikuti dan dilaksanakan.
– Bertolak ansur dalam mengendali gerak kerja dan permasalahan jamaah.
– Menghormati generasi terdahulu sekalipun mereka serba kekurangan, kelamahan kerana sekurang-kurangnya menjadi mata rantai yang menyambung perjuangan ini.
– Sentiasa mengadakan muhasabah terhadap apa jua tindakan / aktiviti jamaah. Merasakan diri adalah lemah dan kerdil dan serba kekurangan justeru cuba untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

2. Istiqomah
Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung kea rah yang lain, hanyut bersama arus, jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan. Allah berfirman kepada Musa dan Harun yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya:

Maksudnya: “ Maka kamu mestilah istiqomah dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang tidak tahu” (Yunus : 189)

Apabila Abu Suffian bin Abdullah berkata kepada Rasulullah saw: “katakanlah kepada saya dengan kata-kata yang jelas sehingga saya tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain darimu. Sabda Rasulullah saw:” katakanlah aku beriman kepada Allah dan kemudian beristiqomahlah”.

Dalam Hadis Nabi yang lain:
Maksudnya: “Tiga perkara yang tidak memberi manfaat olehnya bersama sebarang amalan, iaitu menyengutukan Allah, menderhaka kepada kedua ibu bapa dan lari dari medan perjuangan”

3. Taat
Ketaatan lahir dari sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut, apabila pemimpin mempunyai keikhlasan dan menyatakan pengorbanan yang sebenar dan memberi perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutnya. Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa lapang dan sempit dalam perkara yang tidak maksiat. Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul dan ulil Amri (pemimpin dikalangan kamu)” (An Nisa’ : 59)

4. Disiplin
Perkara yang ditakrifkan dengan disiplin ialah sebagaimana berikut:
a) Tatatertib dan kelakuan diri.
b) Peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik.
c) Kepatuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan.
d) Hukuman atau denda kerana melanggar peraturan.

Adapun disiplin di dalam jamaah telah ditetapkan di dalam perlembagaan secara tegas. Mereka yang melanggar disiplin jamaah akan dikenakan hukuman melalui Unit Hisbah yang dibuat untuk memantau disiplin ahli. Antara disiplin secara umum di dalam jamaah adalah:

a) Taat kepada hokum-hukum dan ajaran Islam yang menjadi dasar jamaah.
b) Patuh kepada perlembagaan jamaah serta aturan dan peraturannya.
c) Taat kepada arahan dan perintah Jamaah.
d) Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh jamaah.
e) menjaga dengan cermat segala rahsia jamaah.
f) Beramal dengan akhlak Islam.
g) Mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan jamaah.

5. Percaya dengan pertolongan dan janji dari Allah.
Seseorang yang menceburkan dirinya dengan perjuangan Islam mestilah percaya kepada jaminan Allah dan janjinya di dunia dan akhirat, ini hendaklah dengan adanya sifat taqwa, mengerjakan perintah dan menjauhi laranganNya, serta tidak mundur walau sedikitpun dalam arus medan perjuangan.

Dalam sejaran Nabi Muhammad saw dan orang-orang yang bersama-sama dengan baginda melakukan hijrah dan orang Ansar yang menerima dan memberi tempat kepada Islam di tanah air mereka yakin kepada janji Allah di dunia dan akhirat, walaupun tidak ada satupun wawasan yang dapat dilihat dengan mata kasar menandakan kemenangan Islam, namun siapa menyangka bahawa akhirnya Rasulullah saw berjaya juga membuka kota Makkah dengan jayanya begitu juga nur Islam berjaya melepasi tembok sempadan geografi dan menembeusi kota-kota Rom dan Parsi, sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka sebelumnya.

6. Ukhwah (persaudaraan)

Ahli-ahli jamaah di semua peringkat laksana batu-bata yang berselerak dan perlu diikat teguh dan kuat dengan hubungan yang erat di antara satu sama lain. Bagi menunjukkan betapa perlunya persaudaraan ini, maka rasulullah saw menjadikan di antara perkara pertama ketika hijrah ialah mempersaudarakan di kalangan Muhajirin dan Ansar.

Antara kegiatan yang dpat menjalinkan hubungan persaudaraan adalah dengan adanya usrah yang dapat mengeratkan persaudaraan kerana perkataan usrah sendiri membawa maksud keluarga yang tujuan utamanya adalah untuk menyelesaikan masalah secara kekeluargaan. Selain itu program-program secara amal jamaie seperti gotong royong, kerja-kerja kebajikan, perhimpunan (liqo’ Fiqri) semuanya adalah program berbentuk ukhwah yang dapat memandu ikatan ukhwah yang lebih erat.

7. Kerahsiaan
Perjuangan Islam ini dikepung oleh musuh-musuh yang ramai dari segenap penjuru, mereka sentiasa mengintip segala kegiatan jamaah untuk menentangnya, oleh itu setiap anggota jamaah perlu menjaga kerahsiaan (hazar), supaya rahsia-rahsia dalaman dapat terus terpelihara dengan baik. Ia juga supaya dapat membantu mengekalkan survival jamaah.
Ada perkara yang perlu diberitahu kepada semua masyarakat, iaitu yang berkaitan dengan dakwah dan penerangan. Adapun perkara yang berkaitan dengan strategi dan urusan dalaman, hanya ahli-ahli sahaja yang boleh tahu dan menjadi satu kesalahan besar apabila ada anggota yang sengaja membocorkan rahsia jamaah. Ia ibarat seperti mengkhianat yang kesannya akan membantutkan usaha dan strategi jamaah, membayakan ahli-ahli yang lain, dan sebagainya.

8. Tidak leka dengan pencapaian yang ada.
Dalam menghadapi tentangan dari musuh-musuh Islam, kadangkala gerakan Islam mampu untuk berada dalam situasi yang menyenangkan seperti memenangi pilihanraya, berjaya dalam satu-satu aktiviti, keahlian bertambah, berjaya mengurangkan tekanan dan seumpamanya. Namun kesemua itu tidak dapat kita banggakan kerana kadangkala pencapaian itu bersifat sementara. Lihatlah sirah bagaimana dalam peperangan Uhud pada mulanya Islam berjaya mencapai kemenangan awal, namun atas kealpaan dan kelekaan akhirnya tentera Islam dikalahkan oleh puak-puak musuh.

Kejayaan dan kemenangan yang diukir haruslah diiringi dengan kesyukuran dan sentiasa bermuahasabah adakah kemenangan ini kemenangan yang hak ataupun pencapaian ini sekadar istidraj (kemurkaan) Allah.

9. Menunaikan janji dan beriltizam dengannya.
Dalam hal ini Allah swt mengingatkan kita dalam FirmanNya:

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji, dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu, sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan” (An Nahl: 91)

Akhlak yang baik dikalangan ahli jamaah adalah sentiasa menunaikan janji samaada kepada kawan ataupun kepada musuh-musuh. Tidak menunaikan janji akan mengakibatkan hilangnya thiqah (kepercayaan) orang lain kepada diri kita.

10. Tidak melampau.
Allah swt melarang sikap dan tindakan yang melampau walaupun terhadap musuh di medan perang, maka terlebih utama terhadap sesama sendiri dan ketika muwajahah salasiyah.

Sikap melampau akan mengurangkan kawan, meramaikan musuh, melambatkan kemenangan, serta mengurangkan keindahan Islam yang cuba dibawa. Sabda Nabi saw:

“Permudahkan (segala urusan), jangan dipersulitkan, ajaklah dengan baik dan janganlah menyebabkan orang menjauh”. (H.R. Bukhari)

Sikap melampau seringkali berlaku kadangkala dalam urusan yang remeh (furu’) dan inilah yang menjadi batu penghalang kepada kemajuan gerakan Islam.


===================================================================

Sesungguhnya setiap orang yang berjuang dijalan ALLAH tidak akan menghadapi kekalahan..ianya hanyalah kemenangan yang ditangguhkan yang mendidik jiwa kita lebih kental untuk menghadapi dunia yang fana ini...

Blogger template 'Purple Mania' by Ourblogtemplates.com 2008

Jump to TOP