Monday, October 11, 2010

Agar kita tidak tercicir dari jalan ALLAH, apa yang perlu kita lakukan...

Bismillahirahmanirrahim...

SUBHANALLAH, WAL HAMDULILLAH , ALLAHU AKBAR...

Syukur kepada Dzat yang Maha Tinggi kerana kita masih diberi kesempatan untuk bernafas untuk kita mengenal erti hidup sebagai hamba.

Keinginan menulis di kanvas cinta ini selalu datang, namun tidak tepat pada waktunya. Tatkala idea itu meletus, namun laharnya tetap jua tertahan akibat batasan waktu yang tidak mengizinkan saya untuk menulis.

Lapang sebelum sempit
Mungkin saat lapang itu, saya tidak cuba mengerah akal untuk mencari idea menulis. Seperti mana dalam satu hadis Rasulullah saw ada mengatakan bahawa manusia selalu tertipu dengan masa sihat dan masa lapang. Masih teringat perbualan dengan seorang sahabat suatu ketika dahulu:
" Aisyah, teruskan menulis. Ini medium untuk kita sebagai daie untuk
menyampaikan sesuatu"


Saya hanya mampu tersenyum. Saya bukan penulis yang hebat. Bisa memberi nasihat sehebat sarjana agama. Bisa menulis kisah hidup yang jadi penguat jiwa...Saya hanyalah Aisyah. Yang menulis seadanya. Yang masih lemah, dan perlu terus mencari ilmu penguat jiwa.

Terasa momentum untuk menyampaikan sesuatu di dalam kanvas cinta ini tidak akan bertambah kelajuan sekalipun pedal minyaknya keras ditekan, kerana yang perlu mengerakkan sebuah kenderaan adalah bahan bakar, dan bahan bakar yang amat saya perlukan adalah tarbiyah. InsyaALLAH moga perkongsiaan sedikit dari saya mampu menjadi penguat jiwa...

***
Walaupun setelah penat berpusing mencari kawasan yang sepatutnya dituju, ALLAH masih lagi mempermudahkan jalan buat kami. Hujan yang menbasahi bumi~NYA, menjadi rahmat yang tidak terhingga buat makhluk~NYA. Hujan itu jua masih lagi membenarkan kami meredahnya untuk melaksanakan matlamat- berkumpul semata-mata demi~MU, Ya ALLAH... insyaALLAH.

Berkumpul bersama mawar-mawar kesayangan dan naqibah yang dicintai adalah sesuatu pertemuaan yang sangat indah bagi saya. Keindahan yang luar biasa. Usrah pertama setelah saya kembali dari Sibu. Sedikit perkongsian dalam usrah kami, moga yang sedikit itu tetap membuahkan hikmah yang besar.


Agar kita tidak tercicir dari jalan ALLAH, apa yang kita perlu lakukan...

Pelihara niat
Niat perlu dijaga. Dan teman yang benar-benar sejati untuk niat itu adalah ikhlas , semata-mata kerana ALLAH.

Bab solat adalah perkara yang sangat perlu dititik beratkan. Malu rasanya kerana saya juga hambanya yang kerap lalai. Namun peringatan itu penting, untuk sama-sama memperbaiki diri. Kekurangan itu bukan untuk terus dikesali tanpa berbuat apa-apa, belajarlah untuk memperbaiki =)

Ramai yang bersolat, namun tidak semua benar-benar bersolat. Saya ambil kehidupan sebagai seorang pelajar. Kita lebih senang untuk datang ke kelas awal tetapi kenapa tidak menunaikan janji kepada ALLAH diawal waktunya. Adakah takut kita kepada pensyarah dan malu kepada kawan-kawan itu lebih terkesan kepada kita berbanding kepada takut dan malu kepada ALLAH...Ya ALLAH, ampuni kelalaian kami.
Katakanlah:
Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk ALLAH, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan semesta alam. (Surah Al-An'am: 162)

Amalan yang dikerjakan secara ikhlas beramal ini KOSONG daripada niat mengharapkan sesuatu pulangan atau balasan manfaat, sama ada di dunia maupun di akhirat.
Imam al-Ghazali mengatakan : “Ikhlas beramal itu semata-mata menjadikan amalan itu sebagai wahana untuk bertaqarrub dengan
ALLAH Taala dan tidak menuntut sesuatu yang lain. Manakala ikhlas menuntut pahala itu lebih mengharapkan amalan diterima oleh ALLAH di samping mengingini ganjaran pahalanya."


Koreksi diri kita kita kembali, adakah kita benar-benar layak dipanggil daie? Mintalah Ikhlas itu dari ALLAH, dan berusahalah mendidik hati belajar untuk ikhlas...Kerana ikhlas itu ibarat semut hitam, di atas batu hitam di malam yang kelam..Tiada yang terlihat akannya kecuali ALLAH.

Naqibah juga menceritakan tentang seorang hamba ALLAH, yang disuruh memakai jubah. Berbulan-bulan masa diambilnya untuk istikharah semata-mata untuk mendapat petunjuk perlu atau tidak memakai jubah. Alhamdulillah, akhirnya dia menemui yang berjubah itu adalah sunnah, makanya bila hatinya mantap dengan niat kerana ALLAH dan seiringan sunnah, barulah dia menggunakan jubah.

Cerita diatas mungkin tampak biasa. Hanya jubah. Namun, hati saya terasa terpukul, tatkala saya menggunakan jubah , adakah niat saya sesuci itu?...Jujur, tidak pernah terfikir. Kita mungkin nampak sopan dengan berjubah, namun sesopan mana niat kita menggunakan jubah? Perkara kecil yang selalu kita lupakan bisa memberi impak besar kepada hati.


Jangan membazir masa
Masa itu juga makhluk ALLAH dan tidak selayaknya kita menjadi hamba kepada masa. Seorang yang mengaku daie, masa adalah perkara yang sangat penting kerana urusan perjuangan itu lebih banyak dari masa yang kita miliki.
Berkerjalah untuk urusan duniamu, tetapi berkerjalah jua untuk urusan akhiratmu.

Makanya, belajarlah formula ini, 2 in 1

Contohnya, seorang doktor, sememangnya kerja doktor itu merawat pesakit dan dalam masa yang sama dia menerima gaji dari perkerjaannya--> urusan dunia
Dalam masa yang sama, doktor itu mampu menjaga syariat, menunjukkan akhlak islam dan berdakwah secara halus kepada pesakit dan orang di sekelingnya, maka ini --> urusan akhirat
Kesimpulannya, dua perkerjaan mampu dilaksanakan dalam satu masa. Ini yang dinamakan kerja yang mempawa impak kepada kantung pahala.

Perkara ini telah saya terang dalam tajuk
" Syahadah Kehidupan-Adakah aku bakal doktor muslimah". Peringatan juga, sekalipun sibuk , harus jaga kesihatan, makan pada waktunya. Kesihatan itu penting untuk daie tidak mudah lemah.



Berjemaah
Orang yang mempunyai fikrah beragama belum tentu mempunyai fikrah berjemaah, tetapi orang yang mempunyai fikrah berjemaah selalunya mempunyai fikrah berjemaah.



Jemaah itu sepatutnya menyatukan umat Islam bukan menjadikan umat Islam itu berpecah belah. Maka sifat-sifat jemaah yang wajib diikuti perlu diketahui dan bukan hanya dengan taklik semata-mata.

Sifat-sifat Jemaah (ringkasan, huraian lanjut boleh klik disini);


  1. Mengembalikan manusia seluruhnya kepada kefahaman Islam yang betul,
    syumul dan bersih, khususnya kepada orang-orang yang bekerja untuk
    Islam.
  2. Bagi jemaah yang berusaha melaksanakan tuntutan-tuntutan Islam serta
    tanggungjawabnya mestilah meletakkan dalam manhaj mereka ketetapan untuk Negara Islam, sistem Khilafah dan peneguhan agama ini di bumi.
  3. Setakat betulnya kefahaman Islam sesuatu jemaah, dan setakat adanya
    ketetapan di dalam manhaj untuk menegakkan Negara Islam sahaja, belumlah cukup lagi. Tetapi jemaah tersebut mestilah bekerja melaksanakan
    kewajipan itu dengan cara yang betul.
  4. Jemaah yang sebegini mestilah bekerja sedaya upaya di seluruh dunia
    Islam, bukannya setakat di sebuah negara sahaja. Islam dan usaha ke
    arahnya mestilah merangkumi keseluruhan dunia Islam.
  5. Sebagai contoh; jika terdapat dua jemaah yang sama-sama mempunyai empat syarat ini, tetapi salah satu daripadanya mempunyai kematangan,
    pengalaman dan persediaan yang lebih dalam bidang amal Islami, manakala yang satu lagi masih baru dan mentah, maka seseorang itu hendaklah menyertai jemaah yang pertama.

Sungguh saya belum layak untuk menghurai panjang lebar berkenaan jemaah. InsyaALLAH saya masih belajar dan akan terus belajar. Renungkanlah ayat-ayat cinta dari ALLAH untuk mencari redha~NYA:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung" Al-Imran ayat 104


"Hai orang-orang yang beriman, bersiap sedialah kamu, dan majulah (ke medan pertempuran) berkelompok-kelompok, atau majulah bersama-sama!"An-Nisa' ayat 71


Agama itu tidak tertegak dengan tulang empat kerat dan akal total dari seorang lelaki sahaja, tetapi agama itu tertegak dengan pertolongan ALLAH dalam jemaah itu sendiri. Pelajarilah rentetan hidup lelaki yang paling layak kita cintai, maka dari situ kita mengetahui yang lelaki mulia itu juga tidak bersendirian dalam perjuangan meninggikan kalimah ALLAH di muka bumi ini. Maka jangan mengatakan kita tidak layak untuk bersama-sama dalam jemaah, kerana itu adalah sunnah.


“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku
menjadi lebih dicintai daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia sekalian”. (Riwayat Bukhari)

Peliharalah Fardhu Kifayah
Seiring dengan penekanan kepada Fardhu Ain, Fardhu Kifayah jua perlu dititik-berat. Lihatlah saudara-saudara di Palestin, perjuangan mereka dan keengganan mereka menerima tawaran kemuliaan dunia agar mereka meninggalkan tanah Al-Aqsa , menjadikan kita orang yang tidak berdosa...kerana lalainya kita kepada perjuangan membebaskan Palestin.


Makanya pelihara jua Fardhu Kifayahmu, agar dirimu tidak menjadi fitnah kepada orang lain yang membawa Islam. Makanya, laksanakannya dalam syariat yang benar.


Jangan menjadi lantang di medan dakwah, namun lesu di bangku kuliah. Daie yang sejati adalah daie yang menjaga kedua-duanya, bukan semestinya berjaya, tetapi usaha untuk mengapai kejayaan itu lebih dipandang oleh ALLAH, kerana kalah atau menang itu adalah rezeki dari ALLAH.

Sampai disini sahaja buat detik ini...Segala yang dikongsi didalam kanvas cinta ini untuk peringatan kita bersama, lebih-lebihlagi bagi diri saya selalu tersungkur dalam meniti ujian dari~NYA...Jadikan kami ikhlas,Ya ALLAH...



ALLAHU'ALAM




6 Zulkaedah 1431H / 14 Oktober 2010
Alhamdulillah selesai pada 9.11 malam



@>-----------------------------------------Untaian Mawar buat sahabatku


Pesanan buat diri dan sahabat~ Moga-moga kita tidak lesu dalam terus menyampaikan kebenaran Islam dalam apa cara sekalipun, tatkala senang mahupun sibuk:

"Setiap orang yang berusaha meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda,jiwa raga, pena (penulisan), dan lidah (pendakwah)." ~Sayid Abdul 'Ala al-Maududi




0 comments:

Blogger template 'Purple Mania' by Ourblogtemplates.com 2008

Jump to TOP