Wednesday, January 19, 2011

Menyubur tarbiyah dengan mengikhlaskan teguran


Unite for Islam

Bismillahirahmanirahim...

SUBHANALLAH, WAL HAMDULILLAH , ALLAHU AKBAR...

Suasana sejuk di dalam musolla kecil di tingkat 7 hospital itu mengigit kulit yang mulai kering dari basahan wuduk.

Namun saat itu sangat mendamaikan, membawa hati kepada Tuhan. Dan ku mohon ikhlas itu hanya dari~MU. Bersendirian dengan ALLAH, memulih kembali akal dan tubuh yang penat dek hambatan dunia yang kian mengila. Materialisme di kedua-dua mata. Mata zahir dan mata hati.

Terdengar bunyi derapan kaki seseorang melangkah masuk.

"Assalamualaikum warahmatullah...assalamualaikum warahmatullah", tanda selesai solat saya. Sekilas terpandang empunya derapan kaki yang masuk tadi, dia sudah mula solat.


Dia akan keburuan dalam solatnya. Mendesakkan dada saya ketika itu. Bukan kerana saya terlalu sempurna dalam solat, namun tatkala itu, adalah pertemuan kita sebagai hamba dengan sang Khaliq. Husnudzon... sungguh tidak layak untuk saya menilai ibadahnya yang menjadi hak mutlak ALLAH utk menilai. Sungguh tidak layak seorang hamba memandang remeh amalan hamba lain. Saya terus kembali menguatkan fokus untuk meneruskan doa saya.


Namun, tidak dapat tidak, mata saya tidak boleh cuba menipu hati. Kainnya tersingkap dari awal hingga ke akhir solat kerana gerakannya yang agak pantas. Serba-salah saya dibuatnya. Nak buat dek je atau tegur.


Teringat kata-kata seorang sahabat, " cara untuk menyuburkan tarbiyah adalah menegur orang lain". Dan semestinya mengamalikan apa yang telah kita pelajari saat kita membaiah sebagai hamba dan khalifah ALLAH.

"Cik, kain cik tersingkap masa solat tadi".

" urmmm". Dia agak kehairanan dengan teguran itu. Dia terus berlalu. Adakah asing teguran dari saudara yang asing?.

ALLAH, adakah apa yang saya cuba sampaikan itu benar-benar difahaminya. Saya agak termangu lama memikirkannya. Ya ALLAH, ampunilah dosa kami dan jadikan apa yang hamba~Mu lakukan ini adalah atas dasar kasih sayang.

Please, aisyah... Be positive and try to repolish your dakwa' skills.

May ALLAH always be in my side and all of us.

Time to learn and continue to learn for mardhatillah...




15 Safar 1432H / 19 Januari 2011
Alhamdulillah selesai pada 10.10.28 malam

@>----------------------------------------------Untaian mawar buat sahabat
Seseorang itu tidak beriman sehinggalah dia mengasihi terhadap saudaranya seperti mana dia kasih terhadap dirinya sendiri’
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Friday, January 14, 2011

Musibah itu tarbiyah...


Bismillahirahmanirrahim...


SUBHANALLAH, WAL HAMDULILLAH , ALLAHU AKBAR...

Lama terpaku di depan laptop, mengembalikan jiwa saya untuk kembali menulis. Fokus agak lari dari beberapa hari ini melumpuhkan sedikit semangat.

Musibah yang diperolehi adalah tarbiyah. Tarbiyah dari ALLAH...


Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Sejak benar-benar mengenal Islam, saya merasa kebahagian yang sebenar. Teringat tahun pertama pengajian di fakulti Perubatan, mengenal Islam pada intipatinya menyebabkan merasa seperti dilahirkan semula. Matlamat hidup yang selama ini berbentuk keduniaan, sedikit demi sedikit mengarah ke matlamat Islam. Banyak perkara yang dilepaskan kerana takut akan murka ALLAH... SubhanaALLAH sangat indah sekali waktu itu. Terasa hati saya dilapangkan selapang-lapangnya.

Seiring berjalannya waktu, tarbiyah dari ALLAH bukan berbentuk statik. Jauh sekali, menandakan ALLAH tidak cinta. Sekiranya dulu, matlamat kita hanya untuk menjadi hamba yang diredhai-NYA dengan menitikberatkan hablun minal ALLAH semata, dan sekarang matlamat itu harus diperluas, menjadi hablun minal ALLAH wa hablun minnan nas sebagai wadah.

Jujur saya akui, saya bukannya orang yang bijak untuk terus dapat mentafsir hikmah di sebalik 2 kalimah ini. Kerana musibah, saya jadi sangat lemah. Namun alhamdulillah, kerana hati yang masih dipautkan oleh ALLAH kepada naqibah tercinta, saya dinasihatinya, koreksi diri kembali, di situ kita akan melihat kelemahan kita. Jadi orang yang tawadu'. Kembalikan sepenuh pengharapan kepada ALLAH. Zikrullah. Dan hidup ini keutamaannya adalah Islam.

Kerana musibah saya merenung kembali hala tuju dakwah di bumi gersang Sarawak. Semua orang mampu berteori, tetapi bukan semua mampu mengamalikan matlamat dakwah di bumi Sarawak ini. Perjalanan dakwah di bumi Sarawak ini perlukan daie-daie yang benar-benar ikhlas berada di jalan perjuangan. Mungkin kamu perlu mengorbankan segala-galanya untuk terus menjadi mata-mata rantai dakwah. Perasaan, kerjaya, masa, wang ringgit hatta apapun. Melihat kembali cita-cita dakwah saya di bumi Sarawak. Ya ALLAH, masih terlalu kerdil hamba-Mu ini.

Dulu saya mengira hanya menjadi doktor muslimah sudah cukup untuk melaksanakan misi dakwah. Namun, daieyah itu benar-benar besar dan luas cita-citanya untuk Islam. Seumpama Saidatina Khadijah. Seumpama Zainab Al-Ghazali. Sehingga detik ini saya tidak pernah menyesal untuk memilih kerjaya sebagai seorang doktor, kerana ini jalan yang telah saya yakini sejak beberapa tahun lepas. Yang perlu sekarang adalah dimana hala tuju dan cinta saya untuk Islam. Syukran kepada musibah ini kerana mengajar saya, erti sebenar pengorbanan di jalan dakwah ini.

Menyelusuri kata-kata Dr Muhaya Muhammad, menyedarkan saya kenapa saya perlu terus berada di bidang perubatan, kerana seorang doktor adalah harapan 20 000 rakyat. Dan disebalik harapan itu ada peluang untuk dakwah Islam. Dan bukan semua doktor yang punya cita-cita untuk Islam. Jadi, dimana kita meletakkan hak pesakit-pesakit yang perlu dirawat dengan berlandaskan syariat jika kita mengadaikan cita-cita menjadi doktor daieyah untuk Islam. Yang perlu Rebranding kembali hala tuju dakwah kita.

Kepada sesiapa yang membaca entri ini, saya ingin bertanya kepada anda, sanggupkah anda meninggalkan apa yang anda ada ketika ini, sekiranya dakwah menuntut anda untuk ke medan perjuangan? sanggupkah anda kembali bermula dari bawah? Terutamanya, di bumi gersang seperti Sarawak...




11 Safar 1432H / 15 Januari 2011
Alhamdulillah selesai pada 8.39 pagi

@>----------------------------------------------Untaian mawar buat sahabat
Orang yang sakit sering kali mengigatkan kita akan kematian...
Orang yang sembuh dari penyakit sering kali mengigatkan kita betapa besar nikmat tuhan...
Pegang erat hati-hati kami untuk terus meraih Cinta-Mu, Ya ALLAH di jalan perjuangan.

Sunday, January 2, 2011

Kerana ALLAH Cinta...





Bismillahirahmanirrahim... SUBHANALLAH, WAL HAMDULILLAH , ALLAHU AKBAR...


Hampir 3 minggu saya meninggalkan kanvas cinta ini tanpa coretan apapun. Syukran kepada ukhti Nizar Hanim atas peringatan " kenapa lama dah tak update blog?"...

Teringat kata-kata salah seorang cermin ajaibku, " Hanya hati yang bersih mampu merawat hati-hati yang lain". Mungkin berdebunya hati ini, merasakan saya sangat sakit untuk mencoret di kanvas cinta ini.


Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!


Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

2 ayat diatas benar menusuk jiwa saya. Berapa banyak kata-kata yang masih belum terlaksana. Moga-moga segala baiah perjuangan yang telah diikrar , mampu untuk kami laksanakan, Ya ALLAH yang Maha mengetahui.

Alhamdulillah, di pagi ini diberi sedikit kekuatan setelah membaca blog mawar kesayanganku Asiah Yusra, moga sentiasa dirahmati ALLAH. Kembali mencoret...

Kerana ALLAH Cinta...

2011... sungguh masa itu benar-benar telah memamah usia kita kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kalau diikutkan tahun, saya telah menginjak kepada 23 tahun, baru perasan telah meninggalkan zaman remaja ^_^" .

Teringat zaman kanak-kanak saya, sungguh comot dan jiwa sangat merasa senang. Berentas belukar, memasang khemah kayu bersama teman-teman kecil, menangkap ikan 'kendot' dengan bakul kecil yang diambik dari dapur mak, mandi-manda di sungai yang kini telah pudar jernihnya. Dan yang paling kejam , membakar lintah didalam tin susu. Ya ALLAH, moga diampunkan dosa kami yang lalu.

Zaman kanak-kanak juga saya gemar mencipta alasan.
"mak, tak nak pergi sekolah, adik malaslah. Nanti cakap demam."
Emak selalunya akan marah dengan kerenah kami, namun terkadang dia terpaksa akur. Dengan kehadiran yang merah di kad laporan, saya hanya tersenyum sendiri apabila membeleknya semula.

Kasih mak sangat mendamaikan, setelah marah, mak akan datang memujuk, dipeluk dan diciumnya saya. Saya akui kedegilan saya sentiasa menguji mak. Namun sekarang, saya sangat merasakan hati mak sangat sayu, anak yang dua orang sudah membesar, sudah mencipta haluan sendiri. Ya ALLAH, kekalkan dia sebagai ratu hatiku dan diriku sebagai pengubat jiwa tuanya.

Waktu awal memasuki zaman sekolah menengah, saya hanya pelajar yang biasa. Anak seorang buruh kasar, seorang bapa tidak pernah jerih membesarkan kami. Saya ditempatkan diantara kelas hujung, namun kerana ALLAH cinta...Dia mengizinkan saya menjejak kaki ke kelas pertama. Saya masih tidak sedar akan Cinta ALLAH saat itu...

Ketika tingkatan 3, saya membina cita-cita, ingin menjadi doktor kerana terinspirasi dengan kakak seorang sahabat. Sebab yang lain, kerana ibu bapa saya menghidap asthma dan orang kata kerjaya doktor memungkinkan kita untuk hidup senang. Tiada sedikitpun niat yang cita-cita ini , saya lakukan kerana mencari redha ALLAH pada saat itu. Namun kerana ALLAH cinta... Dia mengizinkan saya merancang kehidupan dan Alhamdulillah saya kini pelajar perubatan tahun 4... Saat saya mula merancang, saya masih tidak sedar akan Cinta ALLAH saat itu...

Sebagai seorang gadis remaja, bohong untuk saya katakan, saya tidak menginginkan sesuatu hubungan yang istimewa. Namun, kerana kesibukan dan bimbang akan menganggu pelajaran, saya lebih suka menghindar pekara itu jauh-jauh. Pelik... Sepupu dan sahabat melabelkan saya pelik kerana dalam usia remaja itu, tidak mempunyai teman lelaki. Tertekan juga, tetapi naturenya saya seorang yang agak pemalu terlibat dalam perhubungan seperti itu. Bermanja dengan lelaki. Geli... Saat itu, saya masih tidak sedar akan Cinta ALLAH....Namun kerana ALLAH cinta...alhamdulillah saya kini sangat-sangat bersyukur kerana penjagaan~Nya saya menjadi diri saya saat ini. Terlepas dari bahaya cinta yang tidak dilandaskan syariat. InsyaALLAH, doakan saya dan sahabat-sahabat dikurniakan pendamping yang bersama-sama berusaha meraih Cinta ALLAH di jalan perjuangan.

Dan nikmat terbesar apabila ALLAH menemukan saya dengan cermin terajaib, Kak Radhiya semasa saya mula menjejak kaki di kampus perubatan UNIMAS. Akhlaknya sangat menambat hati saya. Kelembutannya mendamai jiwa yang saat itu sangat mendahagakan taufik dan hidayah. Alhamdulillah , kerana ALLAH cinta... Dia mengizinkan saya mengikat ukhuwwah dengan Kak Radhiyah, belajar agama darinya, belajar mendidik jiwa dan terinspirasi dengan akhlaknya. Alhamdulillah, kerana ukhuwwah itu saya dipertemukan dengan naqibah tersayang, Kak Meri, yang mentarbiyah kami melalui penyuburan hati.

Dan kerana Cinta ALLAH, dia menghadirkan cermin-cermin ajaib yang lainnya sebagai penguat diri saya yang lemah, Kak Fatin, Kak Nani, Kak Nad, Kak Asiah Yusro, Ukhti Mimi, Ukhti Ema Zara, Ukhti Anis, Ukhti Surianah dan adik-adik yang lainnya. Ditambah lagi, kehadiran sahabat-sahabat sekampus dan senegeri yang berjiwa besar menebarkan dakwah di bumi sarawak ini juga sangat mendidik jiwa saya. Tarbiyah yang mantap dari mereka, menyedarkan saya, saya tidak akan bertahan di jalan perjuangan selagi saya seorang yang cenggeng. Mampukan kami, Ya ALLAH...

Terima kasih atas segalanya, Ya Khaliq....



28 Muharram 1432H / 3 Januari 2011
Alhamdulillah selesai pada 10.09 pagi

@>----------------------------------------------Untaian mawar buat sahabat
Kerana Cinta~MU, Ya ALLAH... Kami punya segala-galanya..
Mungkinkan kami untuk mendidik hati kami untuk menjadikan Cinta~Mu, Cinta teratas di dalam jiwa kami.
Ingatkan kami akan pertemuan denganmu dalam apa-apa keadaan kami, susah mahupun senang...
Biar semesta ini terasa sepi dari kasih sayang, jangan Engkau hilangkan perasaan Cinta kami kepada diri~MU, ya ALLAH. Cinta yang bisa mengerah tulang 4 kerat yang lemah, Cinta yang bisa menyubur semangat yang layu...

Ingatlah sahabat ,jika ada suatu kebaikan dalam dirimu, sesungguhnya itu bukti cinta dan rahmat ALLAH ke atasmu, bukan kerana amalanmu yang sememangnya hak mutlak ALLAH ke atasmu.


Blogger template 'Purple Mania' by Ourblogtemplates.com 2008

Jump to TOP