Sunday, May 16, 2010

Akhlak dan Adab-adab berjemaah

"Subhanallah, walhamdulillah, wa la ila haillallah, Allahu akbar...
Alhamdulillah diberi kesempatan dan ilmu untuk mencoret kembali lembaran blog saya yang lama menyepi ini...

Daripada Ibn Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda:"pertolongan Allah bersama jemaah"
(HR al-Tarmizi)


Dalam dunia yang semakin hebat dengan maksiat dan kebejetan akhlak , amat perlu jemaah untuk kita menguatkan jiwa yang disuntik vaksin kelalaian. Ya, saya akui ada setengah orang mampu menjadi hebat walaupun tidak bergerak dalam jemaah tetapi pasti ruang lingkup dakwahnya masih terhad. Kenapa perlu mengehadkan ruang untuk kita berdakwa'? takut akan keterikatan masa kita dengan aktiviti dakwa'? . Renungkan lah hadis di atas wahai sahabat ku...sungguh saya mungkin bukan yang layak untuk membicarakan perkara ini. Dalam dunia yang penuh ancaman ini, amat perlu kita bergerak bersama-sama dalam melaksanakan kerja Islam. Dan mediumnya adalah jemaah.


Allah SWT berfirman.. "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung"
Al-Imran ayat 104

"Hai orang-orang yang beriman, bersiap sedialah kamu, dan majulah (ke medan pertempuran) berkelompok-kelompok, atau majulah bersama-sama!"
An-Nisa' ayat 71

Bagi yang berjemaah, YAKINkan diri kita, yang kita berada di jalan yang betul.
Jemaah bukan ikut-ikutan tetapi faham yang paling utama.
Kerja jemaah bukan hanya semasa hati mengatakan rajin , ditinggal bila jiwa sudah dipagar rasa malas.

Apabila kita berniat memperjuangkan islam , sebenarnya kita telah mengikat janji setia kepada ALLAH, bukannya kepada manusia. Sesungguh setiap yang berjanji layak untuk diuji. Nah , ujian ALLAH pasti ada didepan kita, bukan sebagai bala, tetapi ALLAh ingin menguji benarkan janji kita. Sesungguhnya, ALLAH lebih mendahului pengetahuaan tentang diri kita dan alam ini...
===================================================================
10 akhlak dan adab-adab berjemaah
(ini artikel yang saya copy-paste dr sebuah blog)

1. Ikhlas.
Pejuang Islam mestilah ikhlas dengan mempunyai niat yang sebenar kerana Allah, menuntut keredhaanNya dengan menegakkan agamaNya sehingga didaulatkan.

Abu Musa al Asy’ari menceritakan :

Seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah saw, dia berkata : Orang yang berperang kerana mahukan harta rampasan, orang berperang kerana mahukan disebut orang, berperang kerana riya’, maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah?

Sabda Rasulullah: sesiapa yang berperang supaya ‘kalimatullah’ itu menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah.

Ini bermaksud perjuangan untuk menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan samada melalui pilihanraya sehinggalah berperang di negeri, tidak ada cara lain daripada mestilah dengan niat yang ikhlas.
Firman Allah swt:

Maksudnya: “Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan dengan mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus” (Al Bayyinah : 5)

Apabila mengikhlas niat kerana Allah semata-mata maka mestilah memberishkan hati daripada sifat-sifat yang merosakkan niat seperti riya’, ujub dan sum’ah.

Antara tanda-tanda ikhlas dalam diri seorang pejuang Islam adalah:
– Nawaitu yang jelas dan tepat hanya kerana Allah. Tidak meletakkan sasaran untuk menjadi pimpinan atau sebagainya yang merosakkan niat.
– Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan. Sikap hanya aktif semasa memegang jawatan dan menghilangkan diri dikala tidak berjawatan adalah sikap negative yang manzahirkan ketidakikhlasan dalam perjuangan. Contohilah Khalid al Walid di dalam menjalankan tugas (kisah Khalid al-Walid yang menerima surat perletakan jawatannya oleh Khalifah Umar al Khattab)
– Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran.
– Tidak bermain alasan untuk mengelakkan diri dari aktiviti jamaah.
– Bersedia menerima arahan dalam apa jua keadaan sungguhpun ia tidak bersesuaian dengan keinginan diri.
– Prihatin terhadap keperluan jamaah. Sentiasa mengutamakan aktivit jamaah dari aktiviti sendiri dan menganggap semua kativiti jamaah adalah penting untuk diikuti dan dilaksanakan.
– Bertolak ansur dalam mengendali gerak kerja dan permasalahan jamaah.
– Menghormati generasi terdahulu sekalipun mereka serba kekurangan, kelamahan kerana sekurang-kurangnya menjadi mata rantai yang menyambung perjuangan ini.
– Sentiasa mengadakan muhasabah terhadap apa jua tindakan / aktiviti jamaah. Merasakan diri adalah lemah dan kerdil dan serba kekurangan justeru cuba untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

2. Istiqomah
Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung kea rah yang lain, hanyut bersama arus, jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan. Allah berfirman kepada Musa dan Harun yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya:

Maksudnya: “ Maka kamu mestilah istiqomah dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang tidak tahu” (Yunus : 189)

Apabila Abu Suffian bin Abdullah berkata kepada Rasulullah saw: “katakanlah kepada saya dengan kata-kata yang jelas sehingga saya tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain darimu. Sabda Rasulullah saw:” katakanlah aku beriman kepada Allah dan kemudian beristiqomahlah”.

Dalam Hadis Nabi yang lain:
Maksudnya: “Tiga perkara yang tidak memberi manfaat olehnya bersama sebarang amalan, iaitu menyengutukan Allah, menderhaka kepada kedua ibu bapa dan lari dari medan perjuangan”

3. Taat
Ketaatan lahir dari sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut, apabila pemimpin mempunyai keikhlasan dan menyatakan pengorbanan yang sebenar dan memberi perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutnya. Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa lapang dan sempit dalam perkara yang tidak maksiat. Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul dan ulil Amri (pemimpin dikalangan kamu)” (An Nisa’ : 59)

4. Disiplin
Perkara yang ditakrifkan dengan disiplin ialah sebagaimana berikut:
a) Tatatertib dan kelakuan diri.
b) Peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik.
c) Kepatuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan.
d) Hukuman atau denda kerana melanggar peraturan.

Adapun disiplin di dalam jamaah telah ditetapkan di dalam perlembagaan secara tegas. Mereka yang melanggar disiplin jamaah akan dikenakan hukuman melalui Unit Hisbah yang dibuat untuk memantau disiplin ahli. Antara disiplin secara umum di dalam jamaah adalah:

a) Taat kepada hokum-hukum dan ajaran Islam yang menjadi dasar jamaah.
b) Patuh kepada perlembagaan jamaah serta aturan dan peraturannya.
c) Taat kepada arahan dan perintah Jamaah.
d) Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh jamaah.
e) menjaga dengan cermat segala rahsia jamaah.
f) Beramal dengan akhlak Islam.
g) Mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan jamaah.

5. Percaya dengan pertolongan dan janji dari Allah.
Seseorang yang menceburkan dirinya dengan perjuangan Islam mestilah percaya kepada jaminan Allah dan janjinya di dunia dan akhirat, ini hendaklah dengan adanya sifat taqwa, mengerjakan perintah dan menjauhi laranganNya, serta tidak mundur walau sedikitpun dalam arus medan perjuangan.

Dalam sejaran Nabi Muhammad saw dan orang-orang yang bersama-sama dengan baginda melakukan hijrah dan orang Ansar yang menerima dan memberi tempat kepada Islam di tanah air mereka yakin kepada janji Allah di dunia dan akhirat, walaupun tidak ada satupun wawasan yang dapat dilihat dengan mata kasar menandakan kemenangan Islam, namun siapa menyangka bahawa akhirnya Rasulullah saw berjaya juga membuka kota Makkah dengan jayanya begitu juga nur Islam berjaya melepasi tembok sempadan geografi dan menembeusi kota-kota Rom dan Parsi, sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka sebelumnya.

6. Ukhwah (persaudaraan)

Ahli-ahli jamaah di semua peringkat laksana batu-bata yang berselerak dan perlu diikat teguh dan kuat dengan hubungan yang erat di antara satu sama lain. Bagi menunjukkan betapa perlunya persaudaraan ini, maka rasulullah saw menjadikan di antara perkara pertama ketika hijrah ialah mempersaudarakan di kalangan Muhajirin dan Ansar.

Antara kegiatan yang dpat menjalinkan hubungan persaudaraan adalah dengan adanya usrah yang dapat mengeratkan persaudaraan kerana perkataan usrah sendiri membawa maksud keluarga yang tujuan utamanya adalah untuk menyelesaikan masalah secara kekeluargaan. Selain itu program-program secara amal jamaie seperti gotong royong, kerja-kerja kebajikan, perhimpunan (liqo’ Fiqri) semuanya adalah program berbentuk ukhwah yang dapat memandu ikatan ukhwah yang lebih erat.

7. Kerahsiaan
Perjuangan Islam ini dikepung oleh musuh-musuh yang ramai dari segenap penjuru, mereka sentiasa mengintip segala kegiatan jamaah untuk menentangnya, oleh itu setiap anggota jamaah perlu menjaga kerahsiaan (hazar), supaya rahsia-rahsia dalaman dapat terus terpelihara dengan baik. Ia juga supaya dapat membantu mengekalkan survival jamaah.
Ada perkara yang perlu diberitahu kepada semua masyarakat, iaitu yang berkaitan dengan dakwah dan penerangan. Adapun perkara yang berkaitan dengan strategi dan urusan dalaman, hanya ahli-ahli sahaja yang boleh tahu dan menjadi satu kesalahan besar apabila ada anggota yang sengaja membocorkan rahsia jamaah. Ia ibarat seperti mengkhianat yang kesannya akan membantutkan usaha dan strategi jamaah, membayakan ahli-ahli yang lain, dan sebagainya.

8. Tidak leka dengan pencapaian yang ada.
Dalam menghadapi tentangan dari musuh-musuh Islam, kadangkala gerakan Islam mampu untuk berada dalam situasi yang menyenangkan seperti memenangi pilihanraya, berjaya dalam satu-satu aktiviti, keahlian bertambah, berjaya mengurangkan tekanan dan seumpamanya. Namun kesemua itu tidak dapat kita banggakan kerana kadangkala pencapaian itu bersifat sementara. Lihatlah sirah bagaimana dalam peperangan Uhud pada mulanya Islam berjaya mencapai kemenangan awal, namun atas kealpaan dan kelekaan akhirnya tentera Islam dikalahkan oleh puak-puak musuh.

Kejayaan dan kemenangan yang diukir haruslah diiringi dengan kesyukuran dan sentiasa bermuahasabah adakah kemenangan ini kemenangan yang hak ataupun pencapaian ini sekadar istidraj (kemurkaan) Allah.

9. Menunaikan janji dan beriltizam dengannya.
Dalam hal ini Allah swt mengingatkan kita dalam FirmanNya:

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji, dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu, sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan” (An Nahl: 91)

Akhlak yang baik dikalangan ahli jamaah adalah sentiasa menunaikan janji samaada kepada kawan ataupun kepada musuh-musuh. Tidak menunaikan janji akan mengakibatkan hilangnya thiqah (kepercayaan) orang lain kepada diri kita.

10. Tidak melampau.
Allah swt melarang sikap dan tindakan yang melampau walaupun terhadap musuh di medan perang, maka terlebih utama terhadap sesama sendiri dan ketika muwajahah salasiyah.

Sikap melampau akan mengurangkan kawan, meramaikan musuh, melambatkan kemenangan, serta mengurangkan keindahan Islam yang cuba dibawa. Sabda Nabi saw:

“Permudahkan (segala urusan), jangan dipersulitkan, ajaklah dengan baik dan janganlah menyebabkan orang menjauh”. (H.R. Bukhari)

Sikap melampau seringkali berlaku kadangkala dalam urusan yang remeh (furu’) dan inilah yang menjadi batu penghalang kepada kemajuan gerakan Islam.


===================================================================

Sesungguhnya setiap orang yang berjuang dijalan ALLAH tidak akan menghadapi kekalahan..ianya hanyalah kemenangan yang ditangguhkan yang mendidik jiwa kita lebih kental untuk menghadapi dunia yang fana ini...

0 comments:

Blogger template 'Purple Mania' by Ourblogtemplates.com 2008

Jump to TOP