Wednesday, May 19, 2010

Belajar darinya...

Kebelakangan ini, pagi-pagi yang saya lewati pasti ada perkara yang menyingkap hijab-hijab kecantikan syariat Islam. Ya, kita belajar Islam secara teori dan mempraktikkan dengan hati dan fizikal kita, namun pernahkah kita merasai satu perasaan yang takjub kepada Islam tiba-tiba muncul apabila setiap makhluk ALLAH yang sedang menghayunkan langkah di depan kita sedang juga membawa mesej dari Ya-Khaliq?

***
Susuk tubuh yang kecil itu melangkah masuk di dalam klinik. Ditemani si ibu yang setia disisi. Sekilas pandang, dia lebih kurang baya saya atau lebih tua sedikit.

Pandangannya hambar. Kosong.

Matanya kekuningan, wajahnya lesu menatap wajah rakan saya yang menemu-ramah dirinya.

Namun kebanyakkan soalan lebih pantas dijawab oleh si ibu yang saya kira amat prihatin orangnya. Terharu. Timbul tanda tanya di dalam fikiran tatkala melihat wajah di depan rakan saya. Setiap pertanyaan , saya ikuti dengan perasaan ingin tahu.

Dari rekod ujian darah yang dijalaninya, dia disahkan menghidap Hepatitis C.

Fikiran saya dibawa melayang ke peristiwa beberapa minggu lepas. Berita yang saya terima saya kira diluar jangkauan akal, ada salah seorang ahli keluarga sahabat saya menghidap penyakit yang sama. Namun kerana lantaran kesibukan waktu menyebabkan saya belum mampu bertandang di rumahnya. Hanya sekadar salam dan panggilan menjadi penghubung silaturrahim.

Namun bila yang berada di depan saya ini, REMAJA, lelaki muslim, yang masih banyak kejayaan yang boleh ditempuhinya di depan , dan sekarang dirinya menghidap penyakit yang melemahkan anggotanya dari berkerja, menyebabkan bermacam perasaan yang timbul di jiwa saya.

Berbanding dengan Hepatitis B, Hepatitis C yang mudah merebak dan meragut kesihatan menyebabkan dia kelihatan tidak bermaya dan mungkin batiniahnya juga tidak berdaya walaupun tempoh penyakit ini datang agak singkat. Rakan saya mula menyelidik bagaimana virus itu boleh menganggu gugah kesihatannya.
===================================
Bagaimana Hepatitis C merebak:
-melalui hubungan kelamin
-pemindahan darah dan hasil darah
-akulpuntur/tatu
-ibu kepada anak
=================================
Rakan saya cuba untuk bertanya mengenai sexual history pesakit , namun dihalang oleh pensyarah yang memerhati. Bayangkan, apa perasaan seorang ibu jika mendengar pengakuan anaknya yang diri anaknya pernah melakukan hubungan di luar syariat Islam. Pasti malu. Sedih. Dan barangkali mungkin si ibu yang prihatin tadi akan tiba-tiba naik berang.

Namun setelah mendapat waktu yang privasi, dia menceritakan tentang dirinya. Dia belum kahwin. Tetapi dia telah menjalani hubungan yang melanggar batas syarak beberapa kali. Jiwa saya tergugah apabila rakan saya memberitahu kami. Ini bukan yang pertama saya berjumpa dengan pesakit yang mempunyai sejarah begini, namun ini akibat yang terburuk yang saya baru lihat dengan pancaindera sendiri.

Ya ALLAH, betapa hebatnya ujian-Mu...betapa jelas mesej yang Engkau gambarkan di susuk badan lelaki ini dan kesihatannya...Betapa indahnya syariat larangan-Mu..

Ujian untuk dirinya...

Pesanan untuk kita...

Dia masih muda. Alangkah bagusnya jika usianya dikorban untuk Islam dan mencari ilmu. Alangkah bagus jika dirinya letih kerana kepenatan menjalankan kerja Islam dan mununtut ilmu. Alangkah bagus masanya dipenuhi temu janji di majlis-majlis ilmu. Alangkah bagus jika jiwanya dididik mantap dengan akhlak Islam.

Sekiranya ada pusat yang mampu dibangunkan untuk mengembalikan jiwa bertuhan didalam golongan sebegini, alangkah bagus...

Sekiranya ada doktor yang mampu menasihat pesakit sebegini supaya kembali kepada kehidupan mengenali ALLAH, saya ingin belajar darinya, alangkah bagus...

Alangkah bagus jika Islam itu benar-benar dilaksanakan secara menyeluruh di negara kita.

Saban hari kebajetan masalah remaja terutamanya di negeri Sarawak kesayangan saya, mengugat jiwa saya . Amat menyedihkan. Lebih-lebih lagi bila maksiat dianggap biasa. Duduk sebumbung biasa, zina biasa, anak luar nikah malu hanya seketika...Masya ALLAH, saya sayangkan negeri ini, dan saya ingin Islam benar-benar bercambah subur menjadi pohon rendang yang kukuh memayungi penduduk di bawahnya.

Sungguh saya amat berterima-kasih dengan sahabat-sahabat yang banyak berkorban masa, tenaga , wang ringgit dan segalanya semata-mata ingin melihat Islam terpacak teguh di bumi Sarawak. Saya amat terhutang budi dengan kalian. Sekira dibandingkan dengan saya yang kekurangan ilmu, usaha kalian memantapkan akhlak dan kehidupan beragama dalam masyarakat saya amat besar jasanya. Saya bukanlah sesiapa tanpa kalian. Dan semuanya juga adalah ketentuan ALLAH.

Pesanan untuk kita, ALLAH pasti akan menghukum kesalahan kita. Berbahagia yang dihukum di dunia daripada yang ditangguh ke akhirat. Bertaubatlah, sesungguhnya keredhaan ALLAH lebih besar dari murka-Nya.

Air mata kesyukuran mengakhiri solat saya. Syukur, kerana walaupun dahulu saya digelapkan mata dengan kejayaan dunia semata-mata , hingga akhirat terabai, Ya Khaliq masih menjaga saya, memberi kejayaan dalam hidup dan yang paling berharga , hidayah yang pasti tidak ternilai. Juga sahabat yang sentiasa membantu saya bangun dari kelalaian.

Dia yang saya ceritakan tadi hanya satu dari kisah kehidupan yang dilalaikan dengan nafsu. Masih terlalu banyak, di depan, di belakang , di tepi dan mungkin di dalam diri kita sendiri. Nafsu yang tidak mudah kalah dek bakaran api neraka , namun pasti kalah sekiranya kita hidup berpandukan AL-Quran dan Hadis.

Betapa indahnya Islam...Pasakkan teguh jiwa kami untuk berjuang menegakkan agama-Mu walau dalam keadaan susah atau senang, malas atau rajin, sedikit atau ramai, Ya ALLAH...

Wa'allahualam

0 comments:

Blogger template 'Purple Mania' by Ourblogtemplates.com 2008

Jump to TOP