Kenyataan Media : Tambah Segera Bilangan Doktor Perubatan
Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) melahirkan kebimbangan dengan jumlah doktor perubatan yang meletak jawatan. Menurut kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai seramai 884 orang pegawai perubatan telah meletakkan jawatan dari tempoh 2007 hingga September lalu. DMPP melihat jumlah 884 orang adalah jumlah yang agak kritikal bagi kategori golongan profesional seperti doktor perubatan. Meskipun pelbagai faktor diberikan seperti menjadi tenaga pengajar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta, mengikut pasangan ke luar negara, menerima tawaran pekerjaan lain dan masalah kesihatan, ianya tidak boleh menjadi sandaran. Kerajaan perlu memikirkan sesuatu bagi mengurangkan jumlah doktor perubatan yang meletakkan jawatan bagi mengelakkan krisis kekurangan doktor perubatan di hospital kerajaan dan swasta. Dalam keadaan jumlah doktor perubatan yang semakin berkurangan, para doktor sedia ada sudah pasti terbeban dengan pelbagai tugas. Bebanan ini sudah pasti akan memberi kesan yang mendalam terhadap golongan ini. Tidak hairan sekiranya para doktor mengalami stres, kemurungan, lemah, lesu, masalah kesihatan, serta hubungan kekeluargaan yang renggang. Justeru DMPP berpandangan para doktor perlu diberikan masa kerja dan rehat yang secukupnya bagi memberikan masa berkualiti untuk mereka. Untuk mengikat doktor perubatan dengan kerjaya mereka, seharusnya insentif yang berpatutan diberi kepada mereka. Elaun tambahan, serta kenaikan gaji selaras dengan kelayakan mereka perlu dipertimbangkan semula. Kebanyakan doktor perubatan di hospital kerajaan meletak jawatan hanya kerana mereka menerima peluang kenaikan gaji dan pangkat yang jauh lebih tinggi di hospital swasta. Bahkan ramai doktor terpaksa melakukan kerja tambahan di klinik lain bagi menambah pendapatan mereka. Selain itu, kerajaan wajar menggalakkan mahasiswa beramai-ramai mengambil kursus kedoktoran bagi menampung jumlah pegawai perubatan di Malaysia. Dengan biasiswa, tajaan selain memudahkan sistem pembelajaran akan menyuntik motivasi mahasiswa untuk menceburi bidang ini. Kewujudan kampus serta fakulti yang menawarkan ijazah kedoktoran boleh menambah bilangan doktor di negara ini. Akhirnya DMPP berharap kerajaan mengambil langkah serius bagi mengatasi masalah kekurangan doktor perubatan di negara ini. Secara realistik para doktor hanya perlu berkhidmat untuk 10-15 orang pesakit dalam satu-satu masa agar tumpuan dapat diberikan kepada mereka berbanding dengan berpuluh pesakit dihadapkan dengan seorang doktor sahaja selama ini. NURIDAH MOHD SALLEH Sumber : Dewan muslimat PAS pusat Monologku : Ini adalah jalanmu... Jalan dakwah yang mungkin dilihat orang lain hanya lingkungan hospital dan pesakit... Berusahalah duhai hati...ALLAH tidak memandang amalan yang banyak tetapi ikhlas, sedangkan ikhlas itu rahsia ALLAH...Kenyataan Media : Tambah Segera Bilangan Doktor Perubatan Ditulis oleh Nuridah Mohd Salleh THURSDAY, 16 DECEMBER 2010 11:48
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
(15 Disember 2010 / 9 Muharram 1432)
0 comments:
Post a Comment