Wednesday, May 19, 2010

Belajar darinya...

Kebelakangan ini, pagi-pagi yang saya lewati pasti ada perkara yang menyingkap hijab-hijab kecantikan syariat Islam. Ya, kita belajar Islam secara teori dan mempraktikkan dengan hati dan fizikal kita, namun pernahkah kita merasai satu perasaan yang takjub kepada Islam tiba-tiba muncul apabila setiap makhluk ALLAH yang sedang menghayunkan langkah di depan kita sedang juga membawa mesej dari Ya-Khaliq?

***
Susuk tubuh yang kecil itu melangkah masuk di dalam klinik. Ditemani si ibu yang setia disisi. Sekilas pandang, dia lebih kurang baya saya atau lebih tua sedikit.

Pandangannya hambar. Kosong.

Matanya kekuningan, wajahnya lesu menatap wajah rakan saya yang menemu-ramah dirinya.

Namun kebanyakkan soalan lebih pantas dijawab oleh si ibu yang saya kira amat prihatin orangnya. Terharu. Timbul tanda tanya di dalam fikiran tatkala melihat wajah di depan rakan saya. Setiap pertanyaan , saya ikuti dengan perasaan ingin tahu.

Dari rekod ujian darah yang dijalaninya, dia disahkan menghidap Hepatitis C.

Fikiran saya dibawa melayang ke peristiwa beberapa minggu lepas. Berita yang saya terima saya kira diluar jangkauan akal, ada salah seorang ahli keluarga sahabat saya menghidap penyakit yang sama. Namun kerana lantaran kesibukan waktu menyebabkan saya belum mampu bertandang di rumahnya. Hanya sekadar salam dan panggilan menjadi penghubung silaturrahim.

Namun bila yang berada di depan saya ini, REMAJA, lelaki muslim, yang masih banyak kejayaan yang boleh ditempuhinya di depan , dan sekarang dirinya menghidap penyakit yang melemahkan anggotanya dari berkerja, menyebabkan bermacam perasaan yang timbul di jiwa saya.

Berbanding dengan Hepatitis B, Hepatitis C yang mudah merebak dan meragut kesihatan menyebabkan dia kelihatan tidak bermaya dan mungkin batiniahnya juga tidak berdaya walaupun tempoh penyakit ini datang agak singkat. Rakan saya mula menyelidik bagaimana virus itu boleh menganggu gugah kesihatannya.
===================================
Bagaimana Hepatitis C merebak:
-melalui hubungan kelamin
-pemindahan darah dan hasil darah
-akulpuntur/tatu
-ibu kepada anak
=================================
Rakan saya cuba untuk bertanya mengenai sexual history pesakit , namun dihalang oleh pensyarah yang memerhati. Bayangkan, apa perasaan seorang ibu jika mendengar pengakuan anaknya yang diri anaknya pernah melakukan hubungan di luar syariat Islam. Pasti malu. Sedih. Dan barangkali mungkin si ibu yang prihatin tadi akan tiba-tiba naik berang.

Namun setelah mendapat waktu yang privasi, dia menceritakan tentang dirinya. Dia belum kahwin. Tetapi dia telah menjalani hubungan yang melanggar batas syarak beberapa kali. Jiwa saya tergugah apabila rakan saya memberitahu kami. Ini bukan yang pertama saya berjumpa dengan pesakit yang mempunyai sejarah begini, namun ini akibat yang terburuk yang saya baru lihat dengan pancaindera sendiri.

Ya ALLAH, betapa hebatnya ujian-Mu...betapa jelas mesej yang Engkau gambarkan di susuk badan lelaki ini dan kesihatannya...Betapa indahnya syariat larangan-Mu..

Ujian untuk dirinya...

Pesanan untuk kita...

Dia masih muda. Alangkah bagusnya jika usianya dikorban untuk Islam dan mencari ilmu. Alangkah bagus jika dirinya letih kerana kepenatan menjalankan kerja Islam dan mununtut ilmu. Alangkah bagus masanya dipenuhi temu janji di majlis-majlis ilmu. Alangkah bagus jika jiwanya dididik mantap dengan akhlak Islam.

Sekiranya ada pusat yang mampu dibangunkan untuk mengembalikan jiwa bertuhan didalam golongan sebegini, alangkah bagus...

Sekiranya ada doktor yang mampu menasihat pesakit sebegini supaya kembali kepada kehidupan mengenali ALLAH, saya ingin belajar darinya, alangkah bagus...

Alangkah bagus jika Islam itu benar-benar dilaksanakan secara menyeluruh di negara kita.

Saban hari kebajetan masalah remaja terutamanya di negeri Sarawak kesayangan saya, mengugat jiwa saya . Amat menyedihkan. Lebih-lebih lagi bila maksiat dianggap biasa. Duduk sebumbung biasa, zina biasa, anak luar nikah malu hanya seketika...Masya ALLAH, saya sayangkan negeri ini, dan saya ingin Islam benar-benar bercambah subur menjadi pohon rendang yang kukuh memayungi penduduk di bawahnya.

Sungguh saya amat berterima-kasih dengan sahabat-sahabat yang banyak berkorban masa, tenaga , wang ringgit dan segalanya semata-mata ingin melihat Islam terpacak teguh di bumi Sarawak. Saya amat terhutang budi dengan kalian. Sekira dibandingkan dengan saya yang kekurangan ilmu, usaha kalian memantapkan akhlak dan kehidupan beragama dalam masyarakat saya amat besar jasanya. Saya bukanlah sesiapa tanpa kalian. Dan semuanya juga adalah ketentuan ALLAH.

Pesanan untuk kita, ALLAH pasti akan menghukum kesalahan kita. Berbahagia yang dihukum di dunia daripada yang ditangguh ke akhirat. Bertaubatlah, sesungguhnya keredhaan ALLAH lebih besar dari murka-Nya.

Air mata kesyukuran mengakhiri solat saya. Syukur, kerana walaupun dahulu saya digelapkan mata dengan kejayaan dunia semata-mata , hingga akhirat terabai, Ya Khaliq masih menjaga saya, memberi kejayaan dalam hidup dan yang paling berharga , hidayah yang pasti tidak ternilai. Juga sahabat yang sentiasa membantu saya bangun dari kelalaian.

Dia yang saya ceritakan tadi hanya satu dari kisah kehidupan yang dilalaikan dengan nafsu. Masih terlalu banyak, di depan, di belakang , di tepi dan mungkin di dalam diri kita sendiri. Nafsu yang tidak mudah kalah dek bakaran api neraka , namun pasti kalah sekiranya kita hidup berpandukan AL-Quran dan Hadis.

Betapa indahnya Islam...Pasakkan teguh jiwa kami untuk berjuang menegakkan agama-Mu walau dalam keadaan susah atau senang, malas atau rajin, sedikit atau ramai, Ya ALLAH...

Wa'allahualam

Monday, May 17, 2010

Proaktif Vs Reaktif...Di mana kita?

Seperti kebiasaan setiap pagi, setiap kali saya memandu, saya pasti ditemani dengan suara-suara dj ikim.fm . Satu slot kegemaran saya adalah slot selama 10 minit iaitu "motivasi pagi".

Pagi semalam kisah motivasi yang disampaikan oleh ustaz Zambri amat luas biasa masuk ke jiwa saya.

Kisah tentang Proaktif... Proaktifkah kita dalam kehidupan untuk mencapai keredhaan ALLAH?

Kisahnya lebih kurang berbunyi begini:
Italic
Laparospic technology atau teknology berkamera yang digunakan dalam pembedahan adalah teknologi yang agak canggih didalam bidang perubatan. Mana tidaknya hanya dengan beberapa lubang yang agak kecil, laparospic surgery dapat dijalankan dan pesakit tidak perlu tiggal lama di hospital dan luka pun cepat sembuh...

Di sebalik teknologi ini, pasti ada inventor nya... dan inventor kepada teknologi ini adalah seorang doktor dari California.

Nak di jadikan al-kisah, ada reporter yang ingin menemu ramah doktor ini... Sebelum menemu ramah, mestilah kita kena kaji sedikit latar belakang orang yang kita ingin temu ramah itu ,kan. Jadi ini yang dilakukan reporter, menyelidik latar belakang si doktor yang cipta laparoscopic technology itu tadi.

Setelah dikaji barulah si reporter tahu yang sebenarnya si doktor ini datang dari keluarga yang bermasalah, yang berpecah belah. Jadi si reporter tu pun berjumpa dengan si doktor. Antara soalan yang ditanyanya:

Reporter: Kenapa doktor boleh berjaya walaupun doktor datang dari keluarga yang bermasalah, yang ibubapa doktor selalu memukul doktor?

Doktor : Apa nak buat mak bapak saya memang macam tu... (redha je..)

***
Reporter : Doktor ada adik-beradik selain doktor ?

Doktor : Ada, saya ada seorang adik.

Reporter: (dengan nada teruja) Pasti adik doktor jugak seorang yang berjaya seperti doktor.

Doktor : Adik saya seorang banduan. Ada di penjara California ni. Kalau anda mahu, saya beleh memberi no telefonnya kepada anda.

Reporter : (seolah-olah tidak percaya)

***
Oleh kerana perasaan yang ingin tahu, si reporter pun menelefon adik si doktor dan menziarahnya di penjara...dan antara soalan-soalannya:

Reporter : Kenapa ada menjadi banduan sedangkan abang anda boleh berjaya walaupun hidup dalm keluarga yang ibubapa selalu mendera anda adik- beradik.

Banduan : Apa nak buat mak bapak saya memang macam tu... (aik..sama pulak jawapan dia dengan abang dia)
***
Jadi, ustaz Zambri pun mengulas jawapan kedua-dua adik beradik itu.

Jawapan yang sama tetapi tidak serupa.

Doktor : Apa nak buat mak bapak saya memang macam tu...kalau dia orang pukul, saya sapu minyak gamat, tetapi sayanak belajar betul-betul untuk ubah hidup saya.

Ini yang kita sebut PROAKTIF...

Banduan : Apa nak buat mak bapak saya memang macam tu...sebab tu saya jadi macam nie. saya tidak tahan dengan dia orang.

Ini yang kita sebut REAKTIF...

***
Jadi kita ingin berada di tahap mana? proaktif atau reaktif.

Adakah kehidupan kita proaktif atau reaktif?

Sesungguhnya ALLAH telah berfirman:


Ar-Ra’ad: ayat 11.

“. ..Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan[768] yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, Maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.”

[768] Tuhan tidak akan mengubah keadaan mereka, selama mereka tidak mengubah sebab-sebab kemunduran mereka.


p/s: Ustaz Zambri bagi motivasi dengan nada yang ceria dan lawak jugak. saya mintak maaf kalau perkongsian ini tidak selengkap semasa Ustaz Zambri bagi motivasi.

Sunday, May 16, 2010

Akhlak dan Adab-adab berjemaah

"Subhanallah, walhamdulillah, wa la ila haillallah, Allahu akbar...
Alhamdulillah diberi kesempatan dan ilmu untuk mencoret kembali lembaran blog saya yang lama menyepi ini...

Daripada Ibn Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda:"pertolongan Allah bersama jemaah"
(HR al-Tarmizi)


Dalam dunia yang semakin hebat dengan maksiat dan kebejetan akhlak , amat perlu jemaah untuk kita menguatkan jiwa yang disuntik vaksin kelalaian. Ya, saya akui ada setengah orang mampu menjadi hebat walaupun tidak bergerak dalam jemaah tetapi pasti ruang lingkup dakwahnya masih terhad. Kenapa perlu mengehadkan ruang untuk kita berdakwa'? takut akan keterikatan masa kita dengan aktiviti dakwa'? . Renungkan lah hadis di atas wahai sahabat ku...sungguh saya mungkin bukan yang layak untuk membicarakan perkara ini. Dalam dunia yang penuh ancaman ini, amat perlu kita bergerak bersama-sama dalam melaksanakan kerja Islam. Dan mediumnya adalah jemaah.


Allah SWT berfirman.. "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung"
Al-Imran ayat 104

"Hai orang-orang yang beriman, bersiap sedialah kamu, dan majulah (ke medan pertempuran) berkelompok-kelompok, atau majulah bersama-sama!"
An-Nisa' ayat 71

Bagi yang berjemaah, YAKINkan diri kita, yang kita berada di jalan yang betul.
Jemaah bukan ikut-ikutan tetapi faham yang paling utama.
Kerja jemaah bukan hanya semasa hati mengatakan rajin , ditinggal bila jiwa sudah dipagar rasa malas.

Apabila kita berniat memperjuangkan islam , sebenarnya kita telah mengikat janji setia kepada ALLAH, bukannya kepada manusia. Sesungguh setiap yang berjanji layak untuk diuji. Nah , ujian ALLAH pasti ada didepan kita, bukan sebagai bala, tetapi ALLAh ingin menguji benarkan janji kita. Sesungguhnya, ALLAH lebih mendahului pengetahuaan tentang diri kita dan alam ini...
===================================================================
10 akhlak dan adab-adab berjemaah
(ini artikel yang saya copy-paste dr sebuah blog)

1. Ikhlas.
Pejuang Islam mestilah ikhlas dengan mempunyai niat yang sebenar kerana Allah, menuntut keredhaanNya dengan menegakkan agamaNya sehingga didaulatkan.

Abu Musa al Asy’ari menceritakan :

Seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah saw, dia berkata : Orang yang berperang kerana mahukan harta rampasan, orang berperang kerana mahukan disebut orang, berperang kerana riya’, maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah?

Sabda Rasulullah: sesiapa yang berperang supaya ‘kalimatullah’ itu menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah.

Ini bermaksud perjuangan untuk menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan samada melalui pilihanraya sehinggalah berperang di negeri, tidak ada cara lain daripada mestilah dengan niat yang ikhlas.
Firman Allah swt:

Maksudnya: “Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan dengan mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus” (Al Bayyinah : 5)

Apabila mengikhlas niat kerana Allah semata-mata maka mestilah memberishkan hati daripada sifat-sifat yang merosakkan niat seperti riya’, ujub dan sum’ah.

Antara tanda-tanda ikhlas dalam diri seorang pejuang Islam adalah:
– Nawaitu yang jelas dan tepat hanya kerana Allah. Tidak meletakkan sasaran untuk menjadi pimpinan atau sebagainya yang merosakkan niat.
– Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan. Sikap hanya aktif semasa memegang jawatan dan menghilangkan diri dikala tidak berjawatan adalah sikap negative yang manzahirkan ketidakikhlasan dalam perjuangan. Contohilah Khalid al Walid di dalam menjalankan tugas (kisah Khalid al-Walid yang menerima surat perletakan jawatannya oleh Khalifah Umar al Khattab)
– Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran.
– Tidak bermain alasan untuk mengelakkan diri dari aktiviti jamaah.
– Bersedia menerima arahan dalam apa jua keadaan sungguhpun ia tidak bersesuaian dengan keinginan diri.
– Prihatin terhadap keperluan jamaah. Sentiasa mengutamakan aktivit jamaah dari aktiviti sendiri dan menganggap semua kativiti jamaah adalah penting untuk diikuti dan dilaksanakan.
– Bertolak ansur dalam mengendali gerak kerja dan permasalahan jamaah.
– Menghormati generasi terdahulu sekalipun mereka serba kekurangan, kelamahan kerana sekurang-kurangnya menjadi mata rantai yang menyambung perjuangan ini.
– Sentiasa mengadakan muhasabah terhadap apa jua tindakan / aktiviti jamaah. Merasakan diri adalah lemah dan kerdil dan serba kekurangan justeru cuba untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

2. Istiqomah
Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung kea rah yang lain, hanyut bersama arus, jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan. Allah berfirman kepada Musa dan Harun yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya:

Maksudnya: “ Maka kamu mestilah istiqomah dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang tidak tahu” (Yunus : 189)

Apabila Abu Suffian bin Abdullah berkata kepada Rasulullah saw: “katakanlah kepada saya dengan kata-kata yang jelas sehingga saya tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain darimu. Sabda Rasulullah saw:” katakanlah aku beriman kepada Allah dan kemudian beristiqomahlah”.

Dalam Hadis Nabi yang lain:
Maksudnya: “Tiga perkara yang tidak memberi manfaat olehnya bersama sebarang amalan, iaitu menyengutukan Allah, menderhaka kepada kedua ibu bapa dan lari dari medan perjuangan”

3. Taat
Ketaatan lahir dari sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut, apabila pemimpin mempunyai keikhlasan dan menyatakan pengorbanan yang sebenar dan memberi perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutnya. Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa lapang dan sempit dalam perkara yang tidak maksiat. Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul dan ulil Amri (pemimpin dikalangan kamu)” (An Nisa’ : 59)

4. Disiplin
Perkara yang ditakrifkan dengan disiplin ialah sebagaimana berikut:
a) Tatatertib dan kelakuan diri.
b) Peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik.
c) Kepatuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan.
d) Hukuman atau denda kerana melanggar peraturan.

Adapun disiplin di dalam jamaah telah ditetapkan di dalam perlembagaan secara tegas. Mereka yang melanggar disiplin jamaah akan dikenakan hukuman melalui Unit Hisbah yang dibuat untuk memantau disiplin ahli. Antara disiplin secara umum di dalam jamaah adalah:

a) Taat kepada hokum-hukum dan ajaran Islam yang menjadi dasar jamaah.
b) Patuh kepada perlembagaan jamaah serta aturan dan peraturannya.
c) Taat kepada arahan dan perintah Jamaah.
d) Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh jamaah.
e) menjaga dengan cermat segala rahsia jamaah.
f) Beramal dengan akhlak Islam.
g) Mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan jamaah.

5. Percaya dengan pertolongan dan janji dari Allah.
Seseorang yang menceburkan dirinya dengan perjuangan Islam mestilah percaya kepada jaminan Allah dan janjinya di dunia dan akhirat, ini hendaklah dengan adanya sifat taqwa, mengerjakan perintah dan menjauhi laranganNya, serta tidak mundur walau sedikitpun dalam arus medan perjuangan.

Dalam sejaran Nabi Muhammad saw dan orang-orang yang bersama-sama dengan baginda melakukan hijrah dan orang Ansar yang menerima dan memberi tempat kepada Islam di tanah air mereka yakin kepada janji Allah di dunia dan akhirat, walaupun tidak ada satupun wawasan yang dapat dilihat dengan mata kasar menandakan kemenangan Islam, namun siapa menyangka bahawa akhirnya Rasulullah saw berjaya juga membuka kota Makkah dengan jayanya begitu juga nur Islam berjaya melepasi tembok sempadan geografi dan menembeusi kota-kota Rom dan Parsi, sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka sebelumnya.

6. Ukhwah (persaudaraan)

Ahli-ahli jamaah di semua peringkat laksana batu-bata yang berselerak dan perlu diikat teguh dan kuat dengan hubungan yang erat di antara satu sama lain. Bagi menunjukkan betapa perlunya persaudaraan ini, maka rasulullah saw menjadikan di antara perkara pertama ketika hijrah ialah mempersaudarakan di kalangan Muhajirin dan Ansar.

Antara kegiatan yang dpat menjalinkan hubungan persaudaraan adalah dengan adanya usrah yang dapat mengeratkan persaudaraan kerana perkataan usrah sendiri membawa maksud keluarga yang tujuan utamanya adalah untuk menyelesaikan masalah secara kekeluargaan. Selain itu program-program secara amal jamaie seperti gotong royong, kerja-kerja kebajikan, perhimpunan (liqo’ Fiqri) semuanya adalah program berbentuk ukhwah yang dapat memandu ikatan ukhwah yang lebih erat.

7. Kerahsiaan
Perjuangan Islam ini dikepung oleh musuh-musuh yang ramai dari segenap penjuru, mereka sentiasa mengintip segala kegiatan jamaah untuk menentangnya, oleh itu setiap anggota jamaah perlu menjaga kerahsiaan (hazar), supaya rahsia-rahsia dalaman dapat terus terpelihara dengan baik. Ia juga supaya dapat membantu mengekalkan survival jamaah.
Ada perkara yang perlu diberitahu kepada semua masyarakat, iaitu yang berkaitan dengan dakwah dan penerangan. Adapun perkara yang berkaitan dengan strategi dan urusan dalaman, hanya ahli-ahli sahaja yang boleh tahu dan menjadi satu kesalahan besar apabila ada anggota yang sengaja membocorkan rahsia jamaah. Ia ibarat seperti mengkhianat yang kesannya akan membantutkan usaha dan strategi jamaah, membayakan ahli-ahli yang lain, dan sebagainya.

8. Tidak leka dengan pencapaian yang ada.
Dalam menghadapi tentangan dari musuh-musuh Islam, kadangkala gerakan Islam mampu untuk berada dalam situasi yang menyenangkan seperti memenangi pilihanraya, berjaya dalam satu-satu aktiviti, keahlian bertambah, berjaya mengurangkan tekanan dan seumpamanya. Namun kesemua itu tidak dapat kita banggakan kerana kadangkala pencapaian itu bersifat sementara. Lihatlah sirah bagaimana dalam peperangan Uhud pada mulanya Islam berjaya mencapai kemenangan awal, namun atas kealpaan dan kelekaan akhirnya tentera Islam dikalahkan oleh puak-puak musuh.

Kejayaan dan kemenangan yang diukir haruslah diiringi dengan kesyukuran dan sentiasa bermuahasabah adakah kemenangan ini kemenangan yang hak ataupun pencapaian ini sekadar istidraj (kemurkaan) Allah.

9. Menunaikan janji dan beriltizam dengannya.
Dalam hal ini Allah swt mengingatkan kita dalam FirmanNya:

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji, dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu, sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan” (An Nahl: 91)

Akhlak yang baik dikalangan ahli jamaah adalah sentiasa menunaikan janji samaada kepada kawan ataupun kepada musuh-musuh. Tidak menunaikan janji akan mengakibatkan hilangnya thiqah (kepercayaan) orang lain kepada diri kita.

10. Tidak melampau.
Allah swt melarang sikap dan tindakan yang melampau walaupun terhadap musuh di medan perang, maka terlebih utama terhadap sesama sendiri dan ketika muwajahah salasiyah.

Sikap melampau akan mengurangkan kawan, meramaikan musuh, melambatkan kemenangan, serta mengurangkan keindahan Islam yang cuba dibawa. Sabda Nabi saw:

“Permudahkan (segala urusan), jangan dipersulitkan, ajaklah dengan baik dan janganlah menyebabkan orang menjauh”. (H.R. Bukhari)

Sikap melampau seringkali berlaku kadangkala dalam urusan yang remeh (furu’) dan inilah yang menjadi batu penghalang kepada kemajuan gerakan Islam.


===================================================================

Sesungguhnya setiap orang yang berjuang dijalan ALLAH tidak akan menghadapi kekalahan..ianya hanyalah kemenangan yang ditangguhkan yang mendidik jiwa kita lebih kental untuk menghadapi dunia yang fana ini...

Friday, January 22, 2010

Belajar dari Gaza

Bismillahirahmanirahim...

Tatkala ini jiwa terasa penat memenuhi tuntutan urusan dunia yang mengunung, terkadang alpa dengan urusan akhirat yang kekal selamanya...Alhamdulillah, diberi kesempatan oleh ALLAH menghadiri usrah semalam..meskipun sederhana pengisian namun insya ALLAH diharap mampu sampai ke dasar hati dan terbit bersama peribadi...

Seorang sahabat menyampaikan isu semasa berkenaan dengan Bencana Gempa Bumi di Haiti...Nau'zubillah min zalik..Sebagai orang Islam , bagaimana kita perspektif kita dalam memahami dan mengambil pengajaran dari peristiwa ini?...Itu persoalannya..Dan 2 jawapan yang pasti:

  • ~ sebagai balasan daripada ALLAH kerana kejahilan manusia
  • ~sebagai ujian bagi orang yang beriman bagi menguji kesabaran meraka
Sesunguhnya, kita percaya ia merupakan kaffaratul zhunub (penghapus dosa) dan bukan sebagai bencana yang mampu meragut akidah ataupun semangat kita untuk terus hidup...

Kita selalu mengeluh akan payahnya mencari ilmu, penatnya mencari nafkah, sukarnya taat dan banyak lagi alasan yang kita cipta untuk menunjukkan lesunya hidup...Ya ALLAH...namun kita tidak melihat hikmah disebaliknya, dan sebagai insan kerdil saya juga selalu tersungkur dalam mencari makna diri...

Ada respon dari sahabat mengata warga palestin juga ikut menyumbang dalam menyalurkan dana kemanusiaan di Haiti...si ibunya mengumpul makanan apa yang ada, si kecil mengorbankan anak patung kesayangannya kerana halusnya jiwa kemanusiaannya...Ya ALLAH...tapi di mana tahap kita berbanding mereka dengan kehidupan yang aman makmur dan kononnya lebih membangun?...Sanggupkah ibu di sini menggumpulkan makanan di rumahnya demi sedekah di jalan ALLAH, sanggupkan si kecil disini di ambil anak patungnya untuk disedekah kepada anak kecil yang malang di sebalik benua sana...sukar bukan...si ibu mungkin hanya diam, dan si kecil akan merengek lantang walaupun hanya sebentar dipisahkan dari teddy bear & barbie dollnya...

Bukan peristiwa di Haiti yang menarik perhatian saya, tetapi masyarakat Palestin, khususnya di Gaza itu sendiri..sejujurnya, saya tidak menjejaki kisah palestin dari A-Z, namun setiap kali kisah perjuangan masyarakat terpapar di muka tabloid, hati saya hiba...cemburu...Ya ALLAH, engkau permudahkan mereka untuk mati syahid di jalan~MU...

Membaca Berita Harian Online 23 Jan 2010, hari ini, menjadikan jiwa saya benar-benar tersentuh dengan semangat juang warga Gaza...Malu juga rasanya, kerana selalu mengeluh dengan payahnya hidup sebagai pelajar perubatan, penatnya ke hospital setiap hari, lelahnya menghadap kitab perubatan, malasnya melayan karenah pesakit...jika dibandingkan dengan warga Gaza yang bergembira dengan kehidupan mereka , walaupun esok totally tidak pasti bagi mereka...Disini saya sertakan sedikit ulasan ketua ketua konvoi Malaysia, Matthias Chang

Gaza, katanya, adalah kisah keberanian, semangat, iltizam dan perpaduan rakyat. Ia bukan layar kepada kisah dendam kesumat, kekecewaan dan benci walaupun siang dan malamnya diisi deruman enjin pesawat pejuang Israel, pengeboman dan pembunuhan. Semua ciri itu menyumbang kepada kekuatan warga Gaza, biarpun musuh dianggap begitu kuat dan mendapat sokongan negara kuasa besar, wilayah itu sehingga kini gagal ditawan. Biarpun dikhianati dari dalam, dipencilkan negara jiran yang sebangsa dan seagama atau dilabel pengganas, Gaza tetap mempertahankan daulat dan warganya meneruskan hidup penuh bermaruah.

Kenapa kita tidak memilih hidup bermaruah seperti warga Gaza, dan memilih kekecewaan akan hari ini...Ya ALLAH, mantapkan semangat kami ,Ya ALLAH...kami rapuh, dan bantulah kami teguh...

"Hasbunallahu wa ni'mal wakil, ni'mal maula wa ni'man nasir"
"Cukuplah ALLAh menjadi penolong kami, sebaik-baik pelindung & pembantu"

Belajarlah dari Gaza, sesungguhnya mereka menjadikan ALLAH itu sebaik-baik tempat kembali mereka, tanpa rasa gerun dengan musuh yang menjadikan nyawa dan akidah mereka umpama mainan...


sumber: Berita Harian http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Bmdua/20100117100409/Article




Saturday, January 2, 2010

Tudung labuh vs tudung bawal...

Bismilahirahmanirahim...

"Aku tak suka lah dia orang tudung labuh kat cne." kata H. Sahabat saya sejak dari matrik labuan.

"kamu x suka saya jugak ka?" . saya membalas. Sengaja ingin menduga respon dari sahabat yang lama saya yang baru saya temui ini.

"bukan lah kau bah. Aku dak suka diaorang kat cne sebab selalu sama team tudung labuh dia orang ja". Sahabat ini membalas dengan beremosi.

Saya hanya mampu tersenyum. Anak jati sabah di depan saya ini masih seperti dahulu, sangat beremosi...tapi kebaikannya tetap seperti dulu...setiap kali saya diundang olehnya, layanannya memang high class.

Saya meneliti diri sahabat saya. Kakinya sudah berstoking. Alhamdulillah...

Kata-kata sahabat saya ini memang ada benarnya. Saya bersyukur walaupun menggunakan tudung pendek semasa mula menjejak kaki di kolej perubatan, kakak-kakak yang bertudung labuh tidak memandang saya jelek. Malah dilayannya saya seperti adik-adik yang lain, yang lebih manis bertudung labuh berbanding saya. Jiwa saya terisi dengan usrah, nasihat dan perhatiaan dari mereka.

KENAPA BERTUDUNG LABUH?
Sejujurnya, pada mula perkenalan saya dengan mereka yang bertudung labuh, saya merasakan mereka itu muslimah yang anggun...manis dan terjaga...sehingga saya menyimpan niat untuk bertudung labuh, namun hati saya masih merasakan tidak layak...

Seorang sahabat pernah berkata,"Bila kita pakai tudung labuh, kita rasa terjaga, nak buat maksiat, teringat kita sekarang bertudung labuh...ingat kat ALLAH...nak bergurau senda ngan budak lelaki pun x berani".

Namun bukan tudung labuh yang meleraikan hijab antara saya dan sang Pencipta, tetapi sahabat-sahabat yang dijadikan ALLAH pengantara itu yang membuka jalan terang kepada saya untuk menerima hidayah ALLAH...

Saya tidak pernah merasa sebahagia ini,
saya tidak pernah merasa takut seperti ini,

saya tidak pernah hiba seperti ini,
namun setelah mengenali~Mu , Ya ALLAH,
jiwa ini bergetar dalam syahdu,
jiwa ini meratap dalam kerinduaan,
jiwa ini terkulai dalam kecintaan...

Saya amat rindukan perasaan itu. Saat mula-mula merasa hidayah ALLAH. Namun sekarang jiwa ini terasa di uji, masih ikhlaskah diriku, Ya ALLAH?

Setelah benar-benar merasa jiwa saya tunduk kepada~Nya..barulah muncul keberaniaan untuk memakai tudung labuh... Bagaimana penerimaan keluargaku? sahabat-sahabat lamaku? kaum kerabatku?...Ya ALLAH kuatkanlah jiwaku.

Alhamdulillah zaman getir saya semasa proses perubahan telah berlalu...dari free hair semasa di depan sepupu, sekarang bertudung...hairan juga mereka, sampai ada yang berkata," x panas ka pake tudung?"...saya hanya tersenyum, apa yang perlu saya balas, adakah ini, "api neraka tu panas lagi". Namun jiwa dididik oleh kata-kata Ustazah Meri, dakwah itu perlu hikmah..saya takut jiwa mereka jadi jauh sekiranya saya membalas sedemikian, apa yang termampu, doakan lah mereka. Sekarang mereka menerima perubahan diri saya.

Tudung labuh vs tudung bawal atau sewaktu dengannya bukanlah pengukur iman didada. Ada juga yang bertudung labuh, namun akhlaknya tidak terjaga...namun ada yang tidak bertudung, sifatnya lebih baik...ALLAH mengaturkan sesuatu diluar pengetahuaan kita. Ini bukan permasalah tudung labuh atau tidak. Ini permasalah jiwa. Jiwa perlu dijaga, yang mudah rapuh dek hentaman arus zaman yang menggila, yang mudah leka dengan kemilau kemegahan dunia...

Tudung labuh atau tidak...yang pasti aurat itu WAJIB DITUTUP DENGAN SEMPURNA.No compromise.


Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya…” (Surah ke-24 an-Nur, ayat 31)


Kepada yang telah tekad bertudung labuh, janganlah ditanggalkan, sungguh ramai yang ingin bertudung labuh, mahu tapi malu...ini pendapat seorang penulis di blog beliau -http://muzir.wordpress.com/2009/11/14/muslimah-dan-tudung-labuh/#more-1210

"Percayalah, cara berpakaian sedikit sebanyak boleh mengawal diri dari kita melampaui batas. Dengan bertudung labuh, pasti akan ada setitik penyedar. Kita ingat siapa kita. Kita tak mahu diri terfitnah. Kita tak mahu agama terfitnah.

Janganlah dibuang tudung labuh itu dari tubuh kalian. Kalian nampak ayu dan sopan bertudung labuh. Kalian menimbulkan rasa ingin beragama di kalangan sebahagian manusia. Samada lelaki atau wanita, rasa beragama tiba-tiba datang tatkala kalian muncul. Yang paling penting ialah berpakaian seperti itu jika betul niatnya dan caranya, kalian akan diredhai ALLAH."

Ini cabaran yang perlu dihadapi yang bertudung labuh, anda telah nekad, maka anda berusaha mempertahankan.kerana akan tiba satu fasa yang anda akan digelar kolot, terlalu menutup, tatkala itu anda perlu kuat.. Bagi sahabat yang menyimpan hasrat bertudung labuh, teliti dahulu , selidik dahulu, amati dahulu...saat anda tekad, saat itu juga anda mulakan langkah, takut nanti perasaan itu akan hilang jika dibiar menanti waktu...

LAYAKKAH MEREKA?
"selalunya kita orang ikut giliran bagi pengisian masa usrah, ukhti. Sahabat yang tidak bertudung labuh pun bagi pengisian...Alhamdulillah dia orang boleh". Hanya sekadar berkongsi fenomena usrah di tempat saya.

"Erm..tak takut ke, kalau mereka sampaikan sesuatu yang tidak tepat." sahabat ini teragak membagi jawapan.

Saya membisu. Tidak terkeluar jawapan.

Pertemuan sebentar dengan sahabat ini membuka mata saya , fenomena tudung labuh hanya berkawan dengan tudung labuh ini memang terjadi. Layakkah peringatan mereka kita ambil, kerana hanya sekadar mereka tidak bertudung labuh?...

Saya bukan membela tidak bertudung labuh atau mengaibkan yang bertudung labuh...saya sendiri, diberi peluang menggunakan tudung labuh setelah tidak bertudung...perasaan orang yang tidak bertudung labuh hanya difahami oleh orang yang pernah mengalaminya...Jika penerimaan anggota usrah hanya dikalangan bertudung labuh, kita merasakan kita telah cukup mengtarbiah?... Setiap individu punya potensi masing-masing. Saya suka dengar kisah Umar Al-Khattab...dari orang yang amat keras menentang islam, apabila memeluk islam , beliau menggunakan sifat keberaniaannya yang sejak dari sebelum memeluk islam untuk mengdaulatkan islam...Seorang yang berpotensi dalam sesuatu hal, boleh mengendalikan sesuatu amanah walaupun tidak berkait dengan aktiviti surau, apabila jiwanya mula berubah dan mendekat dengan ALLAH, potensinya itu akan dimanfaatkan untuk agama...masakkan orang yang rajin sebelum mendapat hidayah, menjadi malas setelah mendapatkannya...

"Don't judge a book by its cover. Try to read it first before you make a conclusion."

Ini hanya sekadar peringatan dan pengalaman yang dikongsi kepada sahabat untuk kita benar-benar mengenal diri kita..jangan mudah mengadili tanpa mengenali seseorang itu terlebih dahulu. Terutama mereka yang menjejak kaki ke medan dakwah, tudung labuh umpama kewajipan...namun janganlah kita lupa sahabat yang lain,janganlah berkumpul antara kalian sahaja, janganlah menyampaikan kepada yang anda kira menerima saja...cubalah...dengar pendapat yang lain, selami jiwa mereka ,tiupkan semangat mereka agar bara menjadi api supaya mereka merasa damai dalam beragama, sentiasa berteman dalam kedukaan dan jadikan mereka terasa dihargai...pesanan ini dari saya kerana saya juga mengalaminya...


Wednesday, December 16, 2009

Partograph Daie_Progression of dakwah

Bismilahirahmanirahim...

Ya ALLAH, dah pukul berape nie? Dalam kelesuan sy bangkit dr tidur dan untuk melihat jam loceng sy. Alhamdulillah, sy tidak lambat utk halaqah cinta dengan cermin2 ajaib sy...

Sudah menjadi rutin sebagai pelajar perubatan, hospital menjadi rumah keduanya.Lebih- lebih lg bg sy yg baru memasuki clinical year, sedikit terasa payah apabila pulang ke hostel dalam keadaan lelah.

Maafkan sy, ya cermin2 ajaibku, tidak mampu menghadiri halaqah cinta krn internet yang semakin slow~ sedih nyer~ hampir 2 jam, namun tiada perubahan, . Namun sedikit sebanyak sy membaca butir2 perkongsian kalian, yang sempat masuk ke dalam skype sy tatkala line laju sedikit. Menarik tajuknya. Tahniah kepada kalian. erm...sy ingin butiran lanjut tentang buku yg kalian bincangkan. Sukar mendapat buku sebegitu di Sibu kerana sepanjang saya di sini hanya 2 kedai buku yang sempat sy jelajahi.

Jam dah menunjukkan pukul 12, opss...i haven't finish editing my partograph.
Sejam selepas itu alhamdulilah siap...datang idea di dalam minda...

"Partograph Daie"

Bagi yang terlibat dengan perbidanan (obstetrics), sama ada doktor, nurse atau student perubatan, partograph di definasikan sebagai " diagrammatic representation of the progress of labour".

Bahagian yg plg signifikan dlm dakwah adalah "progression of labour"~ boleh diumpamakan permualaan seseorg merelakan dirinya dalam bidang dakwah. Faktor2nya:
  • Hidayah ALLAH
  • Ajakan sahabat
  • Sekadar mencari nama dalam organisasi...erm..husnudzon

Ada 5 jenis parto. yg abnormal :

  1. False labour= diibaratkan daie yg berdakwah tetapi jiwa nya tidak rela atau masih takut
  2. Prolonged latent phase = diibaratkan daie yang yg rela tetapi terkubur usaha dakwahnya
  3. Primary dysfunctional labour = diibaratkan daie yang lambat tindakan & penglibatan dalam aktiviti dakwah sejak dari awal lagi
  4. secondary arrest (selalunya kene buat Caesarean section nie) = diibaratkan daie yg bagus momentumnya pd awal penglibatannya dalam dakwah, tetapi tiba2 terhenti tatkala hampir ke kemuncak...so kena di bedah sebab2nya
  5. evidence of fetal distress = diibaratkan daie yang memang nazak dalam penglibatan dakwah
Entah terasa diri di dalam "prolonged latent phase" dlam aktiviti dakwah. ya mungkin kerana jarak, tetapi bukan alasan kukuh sedangkan saudara2 di perantauan pun mampu berdakwah dalam suasana manusia yg betul2 gilakan dunia.

Ataupun in secondary arrest. Ya cermin2 ajaib ku, bantulah sy dlm melajukan momentum dalam dakwah di jalan ALLAH.





Saturday, December 12, 2009

ExaM is AroUnD tHe CoNneR...

Bismilahirahmanirahim...

Exam is around the corner...Doakan sy dan kawan2 mampu utk menghadapinya...Ya ALLAH, kuatkan hati kami...

~terpaksa senyum dalam hati yg berdebar2~
~sampai berbuih2 menghafal...hehe..~
~berpeluh pulak, xda lam buku lah apa yg doc ckp~
~kadang2 naik pening...x dpt pk lagi-->bleh g tdo x?~
~dari td baca nie..x faham2 jugak~

Saya akan berhibernasi untuk seminggu lebih...salam maal hijrah ya sahabat2...


Apapun usaha+tawakal = kejayaan di dunia & akhirat (insya ALLAH)

"Ya ALLAH...
kau hiasilah kami ini...
kebijaksaan para malaikat,
kefahaman para rasul,
dan hafazan para nabi...

Pemudahkan urusan kami,
selancar tusukan jarum...

Perkenankan ilmu~MU yang dipelajari kami,mudah difahami
seperti cepatnya air diresap tanah...

Kebalkan diri kami dari fikiran buruk dan dicerca,
seperti kebalnya daun keladi terhadap air..."
~AMIN~



Orang yang gagal merancang ialah orang yang merancang untuk gagal. Orang yang merancang tetapi gagal, ia adalah perancangan dari Allah untuknya.



Blogger template 'Purple Mania' by Ourblogtemplates.com 2008

Jump to TOP