Sunday, January 2, 2011

Kerana ALLAH Cinta...





Bismillahirahmanirrahim... SUBHANALLAH, WAL HAMDULILLAH , ALLAHU AKBAR...


Hampir 3 minggu saya meninggalkan kanvas cinta ini tanpa coretan apapun. Syukran kepada ukhti Nizar Hanim atas peringatan " kenapa lama dah tak update blog?"...

Teringat kata-kata salah seorang cermin ajaibku, " Hanya hati yang bersih mampu merawat hati-hati yang lain". Mungkin berdebunya hati ini, merasakan saya sangat sakit untuk mencoret di kanvas cinta ini.


Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!


Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

2 ayat diatas benar menusuk jiwa saya. Berapa banyak kata-kata yang masih belum terlaksana. Moga-moga segala baiah perjuangan yang telah diikrar , mampu untuk kami laksanakan, Ya ALLAH yang Maha mengetahui.

Alhamdulillah, di pagi ini diberi sedikit kekuatan setelah membaca blog mawar kesayanganku Asiah Yusra, moga sentiasa dirahmati ALLAH. Kembali mencoret...

Kerana ALLAH Cinta...

2011... sungguh masa itu benar-benar telah memamah usia kita kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kalau diikutkan tahun, saya telah menginjak kepada 23 tahun, baru perasan telah meninggalkan zaman remaja ^_^" .

Teringat zaman kanak-kanak saya, sungguh comot dan jiwa sangat merasa senang. Berentas belukar, memasang khemah kayu bersama teman-teman kecil, menangkap ikan 'kendot' dengan bakul kecil yang diambik dari dapur mak, mandi-manda di sungai yang kini telah pudar jernihnya. Dan yang paling kejam , membakar lintah didalam tin susu. Ya ALLAH, moga diampunkan dosa kami yang lalu.

Zaman kanak-kanak juga saya gemar mencipta alasan.
"mak, tak nak pergi sekolah, adik malaslah. Nanti cakap demam."
Emak selalunya akan marah dengan kerenah kami, namun terkadang dia terpaksa akur. Dengan kehadiran yang merah di kad laporan, saya hanya tersenyum sendiri apabila membeleknya semula.

Kasih mak sangat mendamaikan, setelah marah, mak akan datang memujuk, dipeluk dan diciumnya saya. Saya akui kedegilan saya sentiasa menguji mak. Namun sekarang, saya sangat merasakan hati mak sangat sayu, anak yang dua orang sudah membesar, sudah mencipta haluan sendiri. Ya ALLAH, kekalkan dia sebagai ratu hatiku dan diriku sebagai pengubat jiwa tuanya.

Waktu awal memasuki zaman sekolah menengah, saya hanya pelajar yang biasa. Anak seorang buruh kasar, seorang bapa tidak pernah jerih membesarkan kami. Saya ditempatkan diantara kelas hujung, namun kerana ALLAH cinta...Dia mengizinkan saya menjejak kaki ke kelas pertama. Saya masih tidak sedar akan Cinta ALLAH saat itu...

Ketika tingkatan 3, saya membina cita-cita, ingin menjadi doktor kerana terinspirasi dengan kakak seorang sahabat. Sebab yang lain, kerana ibu bapa saya menghidap asthma dan orang kata kerjaya doktor memungkinkan kita untuk hidup senang. Tiada sedikitpun niat yang cita-cita ini , saya lakukan kerana mencari redha ALLAH pada saat itu. Namun kerana ALLAH cinta... Dia mengizinkan saya merancang kehidupan dan Alhamdulillah saya kini pelajar perubatan tahun 4... Saat saya mula merancang, saya masih tidak sedar akan Cinta ALLAH saat itu...

Sebagai seorang gadis remaja, bohong untuk saya katakan, saya tidak menginginkan sesuatu hubungan yang istimewa. Namun, kerana kesibukan dan bimbang akan menganggu pelajaran, saya lebih suka menghindar pekara itu jauh-jauh. Pelik... Sepupu dan sahabat melabelkan saya pelik kerana dalam usia remaja itu, tidak mempunyai teman lelaki. Tertekan juga, tetapi naturenya saya seorang yang agak pemalu terlibat dalam perhubungan seperti itu. Bermanja dengan lelaki. Geli... Saat itu, saya masih tidak sedar akan Cinta ALLAH....Namun kerana ALLAH cinta...alhamdulillah saya kini sangat-sangat bersyukur kerana penjagaan~Nya saya menjadi diri saya saat ini. Terlepas dari bahaya cinta yang tidak dilandaskan syariat. InsyaALLAH, doakan saya dan sahabat-sahabat dikurniakan pendamping yang bersama-sama berusaha meraih Cinta ALLAH di jalan perjuangan.

Dan nikmat terbesar apabila ALLAH menemukan saya dengan cermin terajaib, Kak Radhiya semasa saya mula menjejak kaki di kampus perubatan UNIMAS. Akhlaknya sangat menambat hati saya. Kelembutannya mendamai jiwa yang saat itu sangat mendahagakan taufik dan hidayah. Alhamdulillah , kerana ALLAH cinta... Dia mengizinkan saya mengikat ukhuwwah dengan Kak Radhiyah, belajar agama darinya, belajar mendidik jiwa dan terinspirasi dengan akhlaknya. Alhamdulillah, kerana ukhuwwah itu saya dipertemukan dengan naqibah tersayang, Kak Meri, yang mentarbiyah kami melalui penyuburan hati.

Dan kerana Cinta ALLAH, dia menghadirkan cermin-cermin ajaib yang lainnya sebagai penguat diri saya yang lemah, Kak Fatin, Kak Nani, Kak Nad, Kak Asiah Yusro, Ukhti Mimi, Ukhti Ema Zara, Ukhti Anis, Ukhti Surianah dan adik-adik yang lainnya. Ditambah lagi, kehadiran sahabat-sahabat sekampus dan senegeri yang berjiwa besar menebarkan dakwah di bumi sarawak ini juga sangat mendidik jiwa saya. Tarbiyah yang mantap dari mereka, menyedarkan saya, saya tidak akan bertahan di jalan perjuangan selagi saya seorang yang cenggeng. Mampukan kami, Ya ALLAH...

Terima kasih atas segalanya, Ya Khaliq....



28 Muharram 1432H / 3 Januari 2011
Alhamdulillah selesai pada 10.09 pagi

@>----------------------------------------------Untaian mawar buat sahabat
Kerana Cinta~MU, Ya ALLAH... Kami punya segala-galanya..
Mungkinkan kami untuk mendidik hati kami untuk menjadikan Cinta~Mu, Cinta teratas di dalam jiwa kami.
Ingatkan kami akan pertemuan denganmu dalam apa-apa keadaan kami, susah mahupun senang...
Biar semesta ini terasa sepi dari kasih sayang, jangan Engkau hilangkan perasaan Cinta kami kepada diri~MU, ya ALLAH. Cinta yang bisa mengerah tulang 4 kerat yang lemah, Cinta yang bisa menyubur semangat yang layu...

Ingatlah sahabat ,jika ada suatu kebaikan dalam dirimu, sesungguhnya itu bukti cinta dan rahmat ALLAH ke atasmu, bukan kerana amalanmu yang sememangnya hak mutlak ALLAH ke atasmu.


1 comments:

Nadrah Yusra

hadirnya cinta antara kita kerana ALLAH cinta <3

Blogger template 'Purple Mania' by Ourblogtemplates.com 2008

Jump to TOP